Pages

Thursday, August 22, 2013

Hadiah Cinta Alexa

Kredit


7 tahun yang lalu..

Pintu Dewan Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Gombak terkuak, para pelajar meluru keluar untuk pulang menuju ke asrama masing-masing. Thaqif, pelajar tahun kedua dalam jurusan Perakaunan menilik jam tangan digital G-Shock berwarna ungu miliknya, masa menunjukkan jam 4.30 petang.

“Daripada aku balik solat Asar sorang diri kat bilik, lagi baik aku singgah masjid. Asar pun dah nak masuk waktu ni,”

Berbaju kemeja-T hijau, seluar jeans hitam dan kopiah putih yang sebati dengan kepala bujurnya memberi imej seorang yang “alim” bagi orang kebanyakan. Ditambah dengan nur diwajahnya yang berseri, memberi imej Islam yang sejati namun ringkas melalui pemakaian Thaqif. Namun, dia tak pernah merasa dirinya sebegitu “alim” atau warak.

“Masih banyak lagi yang aku perlu belajar,” respon Thaqif tiap kali rakan-rakannya menggelarnya “Ustaz”. Dia juga sudah biasa memimpin usrah-usrah dikampusnya. Sifat rendah diri dan kecintaan kepada agama mampu membuat mana-mana wanita jatuh cinta padanya.

Tidak ketinggalan meminati Thaqif dalam diam; Alexa, seorang gadis berketurunan Cina dan beragama Kristian. Menyambung pelajaran di UIAM dalam jurusan yang sama dengan Thaqif.

“Assalamua’laikum, Thaqif, nak kemana tu?” ucapan yang terpacul spontan daripada lidah Alexa yang sudah terbiasa dengan suasana Islamik disekelilingnya.

“Wa’alaikumsalam..” Thaqif berpaling dan balasan salamnya tergantung disitu.

Alexa berdiri dihadapannya berselendang biru melitupi sebahagian rambutnya, pemandangan biasa bagi sesiapa sahaja yang beragama selain daripada Islam yang belajar atau berkhidmat di mana-mana cawangan UIAM.

Wajahnya yang putih melepak, mata yang agak sepet dan wajah yang agak bulat memperlihatkan indahnya ciptaan Allah. “Sayang, wajah seindah ini andai kau dalam Islam, alangkah baiknya,” ‘first impression’ oleh Thaqif apabila mengenali Alexa  buat kali pertama dahulu di tahun pertama pengajian ijazahnya.

Serentak itu, Alexa terbayang, “Andai aku masuk Islam, pasti aku dapat bersama dengan Thaqif, memberi salam kepadanya setiap hari. Jadi teman hati dia sampai bila-bila, hehe” bibir nipis Alexa tersenyum sipu memikirkan khayalan itu.

“Oh, maaf Alexa, saya perlu bergegas ke masjid untuk solat jemaah. Saya minta diri dulu,” Thaqif dapat mengagak maksud disebalik senyum sendiri oleh Alexa itu. “Oh, baiklah. Maaf mengganggu awak,” balas Alexa.

“Thaqif, malam tadi Alexa ada cerita pada aku, dia minat kau,”

Seloroh Syahirah, rakan sekelasnya semasa Alexa ada bersama mereka pagi tadi. Alexa yang mendengar hanya diam tersipu malu. “Orang-orang tua kata, diam tanda setuju,” Haziq, sahabat baik Thaqif mencelah.
“Tolong lah, benda-benda macam ni tak perlu lah bangkit di sini. Alexa, pelase say its a some kinda joke,” keseriusan Thaqif menunjukkan yang dia benar-benar tidak mahu gosip tersebut dipanjangkan.

Bukan sekali Thaqif pernah bercerita tentang Islam kepada Alexa sebelum ini. Malah dia pernah menjelaskan tentang akidah Islam kepada Alexa dengan lebih mendalam lagi. Thaqif  juga tidak pernah lelah membantu dan bekerjasama dengan rakan berlainan akidahnya itu dalam kerja-kerja kuliah mereka serta masalah-masalah yang dihadapinya. Pernah sekali Alexa kehilangan dompet, Thaqif dengan bersusah payah cuba mencari untuknya sehingga akhirnya Thaqif menjumpainya di dalam lif di salah satu bangunan UIAM.

Jauh di hati Thaqif, dia juga meminati perwatakan Alexa. Jarang dapat dilihat seorang yang berdiri bukan di atas landasan Islam sejak lahir, mahu bertatih mendalami apa itu Islam. Thaqif berazam mahu mendekatkan Alexa kearah Islam dan berharap gadis itu akan melafazkan kalimah agung syahadah setelah benar dia bersedia. Memandangkan ibu bapa Alexa tidak menghalang anak gadis mereka memilih jalan hidupnya sendiri, Thaqif berfikir, “Kenapa aku tak ajak dia masuk Islam?”

Namun perasaan cinta yang dia dapat rasa daripada gadis itu kepadanya, membuat Thaqif resah.
Dalam hati pemuda Islam itu bertanya, “Apakah kau mendekati Islam kerana aku atau kerana kebenarannya, Alexa?”

***

Kebetulan selepas solat jemaah Asar di masjid kampusnya, Thaqif bertemu Ustaz Zaharuddin yang turut berjemaah di situ. Kesempatan bertemu empat mata dengan seorang ulama, salah seorang pensyarah di kampusnya serta pewaris tugas Rasulullah SAW itu dimanfaatkannya.

“Assalamua’laikum, Ustaz,” sapa Thaqif.

“Wa’alaikumsalam, eh, Thaqif! Kaifa haluka?” Pertanyaan perkhabaran oleh insan  mulia itu cukup bermakna dengan senyuman ikhlas seorang a’limin Islam.

“Ana bil khair, saya khabar baik Ustaz,” balas Thaqif. Wajah resah pemuda itu memberi isyarat untuk Ustaz Zaharuddin bertanya.

“Nampaknya, jawapan ‘ana bil khair’ tu tak menggambarkan ekspresi kamu, Thaqif. Mai sini, kita duduk bincang,” dengan senyuman yang menampakkan sebaris gigi yang bersih, Ustaz Zaharuddin merelakan dirinya untuk mendalami masalah pelajar yang rapat dengannya itu.

“Terima kasih Ustaz,” balas Thaqif dengan nada malu dan rendah diri. Selepas keduanya duduk bersila di salah satu sudut masjid, Thaqif terus bercerita mengenai masalah dan dilema yang dihadapinya. Daripada saat perkenalan dengan Alexa, hasratnya untuk mengislamkan gadis itu dan persoalan keikhlasan insan bukan Islam itu untuk mendekati Islam.

“Masuk Islam sahaja tidak mencukupi. Memeluk Islam sahaja tak cukup,” ringkas Ustaz Zaharuddin.

“Tak cukup? Maksud Ustaz?” soal Thaqif.

“Yang mencukupkan kekurangan-kekurangan tadi ialah dengan memeluk, mendekati, mendalami dan mengamalkan Islam sepenuhnya sebagai cara hidup dengan niat kerana cinta kepada Yang Menciptakan Cinta, yakni Allah SWT. Itu baru lah memenuhi syarat untuk menjadi seorang Muslimin atau Muslimah sejati,”. Jawapan Ustaz Zaharuddin itu sudah cukup memuaskan hati pemuda yang cintakan agamanya itu.

“Terima kasih Ustaz, saya rasa saya perlu berterus terang dengan dia tentang perkara ini,” Thaqif kelihatan yakin selepas mendapat penjelasan daripada Ustaz Zaharuddin.

“Tapi ingat, Thaqif,” sambil memegang bahu pelajarnya itu, “Cinta Alexa itu tak pernah salah. Perasaan yang dia rasakan kepada kamu adalah hadiah daripada Allah kepadanya, tinggal sahaja kamu minta dia cintai Yang Memberi Hadiah itu.”

“Hadiah? Cinta?” persoalan itu sekadar berdetik dihati Thaqif, tak diluahkan, tak diminta penjelasan. Baginya, dia tidak pernah merasakan bahawa mendalami cinta antara manusia itu sebagai satu kepentingan.

Yang dia kenal, hanya cinta Yang Maha Sempurna dari Rabb-nya, Allah SWT.

***

“Erm, Thaqif ada apa awak ajak saya dengan Syahirah ke kafe ni?” Tanya Alexa.

“Hal penting apa yang kau nak cakap dengan Alexa ni, Thaqif?” Soal Syahirah pula.

Soalan bertalu daripada kedua-dua rakannya itu menerjah Thaqif sejak mula Thaqif mahu mengajak keduanya untuk membincangkan sesuatu. Selepas mendapat jawapan daripada Ustaz Zaharuddin, Thaqif mengatur satu pertemuan dengan Alexa dan Syahirah di kafe bangunan Kuliah Ekonomi dan Pengurusan.
Sesuatu yang Thaqif fikir amat penting demi masa depan Alexa.

“Alexa, kau betul-betul suka aku ke?"

Mekar berbunga hati Alexa diajukan pertanyaan itu, dalam kejutan Alexa berasa ringan lidah nya untuk menjawab pertanyaan Thaqif itu dengan jawapan.. “Yes! I am seriously in love with you since the first time we met last year,”

Syahirah yang turut berada disitu turut terkejut dengan pertanyaan yang diajukan Thaqif. Seorang rakan yang cukup kuat berpegang pada agama yang dikenalinya sejak dibangku matrikulasi lagi mempersoalkan tentang hati dan perasaan. Kini dia tahu tujuan dia diajak di situ adalah untuk menjaga ikhtilat dan mengelakkan fitnah antara kedua insan tersebut.

“Saya minta maaf Alexa, saya harap awak buang jauh-jauh perasaan itu,”

Bak halilintar memancar hatinya, terkesima Alexa mendengar bicara pemusnah harapan daripada Thaqif itu.
“Mana mungkin perasaan sayang dapat dibuang sebegitu sahaja, Thaqif!” Hampir menjerit gadis cina itu meluahkan rasa tidak puas hatinya itu.

“Awak belajar dan mendekati Islam kerana saya. Bukan kerana awak benar-benar mahukan kebenaran,” jawab Thaqif.

“What?! Selama ini saya mempelajari Islam dengan awak dan sahabat-sahabat muslimah saya dan pensyarah-pensyarah dengan baik, saya temui kebenaran itu. Ya, saya akui semua itu bermula dari perkenalan dengan awak. Saya mendekati Islam kerana akhlak dan budi awak pada saya,” taruhan perasaan yang dipersoal dan mahu dibuang oleh orang yang dicintainya membuatkan Alexa tak mampu lagi menahan luahan hati dan intonasinya.

“Alexa, sabar,” Syahirah sedaya upaya menenangkan hati sahabat berlainan akidahnya itu sambil merenung Thaqif dengan renungan tajam.  Terdetik di hatinya, “Thaqif, apa yang kau dah buat? Ini perasaan Alexa tahu tak yang kau persoalkan ni?!”

Orang ramai di kafe tersbut mula memandang kearah mereka bertiga. Namun, Thaqif dengan tekadnya dengan tenang berkata kepada Alexa, “Jika benar kamu cintakan Islam, cinta ia kerana kebenarannya. Bukan kerana saya,”

Linangan air mata membasahi pipi insan yang ditolak cintanya itu. Alexa menggalas begnya lalu meluru keluar dari kawasan cafeteria itu beserta esak tangis oleh kalimah menusuk kalbu dari tutur bicara Thaqif. Situasi dalam ramalan Thaqif, akhirnya terjadi. Gadis cina itu benar-benar terasa hati dengan kata-katanya. Namun, Thaqif fikir itu yang terbaik yang perlu dilakukannya.

“Kau telah cuba menafikan fitrah ciptaan Allah kepada seorang insan, Thaqif,”

Kata-kata daripada Syahirah yang sekian lama mendiamkan diri dari tadi agak menyentap hati Thaqif. Bibirnya terkunci untuk menjawab mahupun bertanya.

“Ya, Alexa memang mendekati Islam kerana dia cintakan kau. Tapi perlu ke kau nafikan perasaan dia yang masih jahil pasal semua tu? Kau tak rasa ke perasaandia tu satu asbab untuk dia peluk Islam lepas ini?”

Syahirah terus menyambung, “Kau mampu sahaja mengajarnya erti ikhlas selepas ini. Namun, perlukah kau menyalakan api membakar rasa cinta Alexa pada kau hingga menjadi abu?”

Syahirah terus melangkah pergi. Thaqif yang keseorangan menjadi tumpuan orang ramai merasa dirinya telah melakukan satu kesilapan dalam masa dia merasakan tindakannya benar.

Keesokannya merupakan cuti hujung minggu. Peristiwa itu membuat Thaqif terus menyendiri dibiliknya bersama sejadah dan al-Quran buat peneman dalam pencarian solusi masalahnya.

***

“Nah, ini daripada Alexa,” Syahirah menghulurkan kepada Thaqif sehelai sapu tangan ungu dengan tulisan kaligrafi khat nama Alexa setelah selesai kelas Ekonomi sebentar tadi. "Untuk kau, dari dia," Itulah pemberian dirinya pada gadis itu semasa tahun pertama pengajiannya, namun mengapa dipulangkannya kembali? Alexa juga tidak kelihatan di kelas sejak dari pagi tadi.

“Dia dah terima tawaran sambung belajar kat Guangzhou. Sejak dari awal semester dia dah dapat offer tu. Sekarang dia tak ada kat sini lagi,”

Jawapan dari lidah Syahirah itu cukup untuk membuat perasaan bersalah Thaqif meradang dengan parahnya. Panggilan telefon dan mesej pesanan ringkasnya kepada Alexa sehingga kini tak pernah berbalas.
Kini, Alexa sudah pergi jauh daripada hidupnya. Meninggalkan Thaqif bersama perasaan bersalah kerana membuat hati seorang wanita remuk kerana perhitungannya yang salah.

“Cinta Alexa itu tak pernah salah. Perasaan yang dia rasakan kepada kamu adalah hadiah daripada Allah kepadanya, tinggal sahaja kamu minta dia cintai Yang Memberi Hadiah itu.”

Imbauan memorinya mengimbas pesan daripada Ustaz Zaharuddin kepadanya.  Kini baru dia mengerti maksud disebalik pesan itu.

***

Kini..

Kopi tarik itu masih panas, sudu the diambil dan kopi dikacau. Aroma menusuk deria penggemarnya, Thaqif, kini bersama rakan kolejnya Haziq kini bekerja di sebuah syarikat bumiputera yang giat dalam membangunkan ekonomi Islam dengan membangunkan prasarana dan kemudahan seperti ruang pengiklanan dan tapak niaga untuk umat Islam menjalankan perniagaan.

Hari itu merupakan hari yang penting, dia kini di Warung Cina Muslim Kita di Sri Andalas, Klang, Selangor. Bersama secawan kopi putih dia menunggu Cik Alisa Nur Islam, pengarah syarikat Nur Islam Company yang dia bakal jalinkan kerjasama dalam projek pembinaan sebuah pasaraya khas untuk bumiputera dan mua’laf di Malaysia.

“Inshaallah Thaqif, kita akan berjaya capai cita-cita kita untuk bangunkan ekonomi saudara seaqidah kita nanti,” Haziq menghirup kopi latte panas dihadapannya sambil mengimbau impiannya bersama Thaqif sejak dibangku sekolah lagi.

Dari pintu masuk kafe itu, masuk Syahirah bersama seorang wanita dengan aura karismanya. Berpakaian bak seorang ahli korporat, bertudung biru dan mempunyai wajah ala-ala Cina. Tidak! Dia benar-benar seorang gadis Cina yang pernah dikenali Thaqif dan Haziq suatu masa dulu.

“Alexa?” terpacul spontan asma’ itu tatkala melihat gadis yang pernah menjadi sahabat baiknya dulu. Insan yang pernah disakitinya dahulu kini berdiri dihadapannya dengan senyuman manis menampakkan sebaris gigi putih.

“Assalamua’laikum, apa khabar Thaqif? Apa khabar Haziq?”

“Wa’..Waa’laikumsalam.. Awak Alexa?” dalam gagap Thaqif bertanya. Haziq turut terkejut dengan perubahan Alexa. Syahirah tidak pernah memberitahu mereka yang dia bekerja dengan Alexa selama ini.

Daripada seorang rakan yang berlainan aqidah dengannya dahulu kini telah duduk dihadapan mereka dengan nama, “Kini saya Alisa Nur Islam binti Abdullah,”

Thaqif tak pernah menyangka. Di bumi Allah di Guangzhou, China, Alexa masih mampu mencari cahaya kebenaran Islam. Sungguh luas hidayah Allah SWT.

“Di Universiti Guangzhou, saya telah mengenali seorang gadis tempatan, Aisyah Ma yang berasal daripada keluarga Islam kaum Hui di China. Alhamdulillah, dia dengan rela hati mengajar saya tentang kesempurnaan Islam. Dia menarik saya untuk memeluk Islam dengan ikhlas dan mengajar saya tentang cinta Yang Maha Agung dengan mentaati Allah SWT dengan hati seorang hamba yang patuh pada penciptanya.”

Sambil mengucapkan penghargaan kepada Thaqif atas usahanya dahulu mendekatkan dirinya dengan Islam, Alisa juga berterima kasih kepada Thaqif kerana menyedarkan dia tentang silapnya dahulu.

“Alisa, sebenarnya saya yang bersalah  kerana menafikan fitrah ciptaan Allah SWT yang Dia berikan kepada awak. Saya tak sepatutnya menyakiti awak dahulu. Maafkan saya,” dengan nada kesal Thaqif meluahkan rasanya.

“Its OK Thaqif, sejak kejadian itu, hati saya terus berusaha untuk mencari makna cinta sebenar. Dan kini saya temui makna cinta itu. Cinta yang sebenar itu bermula daripada sempurnanya cinta kita kepada Yang Maha Memberi Cinta. Dan Maha Suci Allah yang mengurniakan hadiah kepada saya yang berupa cinta saya kepada awak dahulu,”

Luahan rasa cinta agung terus dihamburkan wanita mua’laf itu kepada Thaqif, “ Kini saya mahu menyampaikan rasa terima kasih kepada Allah SWT yang menghadiahkan saya cinta, dengan mencintai Dia dengan sepenuh hati saya, insha allah,”

“Alhamdulillah, awak dah jumpa cinta sebenar awak Alisa,” senyuman terukir dibibir Thaqif tanda puas melihat sahabatnya kini telah menemui jalan fitrahnya.

Perbincangan mengenai projek kerjasama mereka hari itu berjalan lancar. Empat sahabat yang berukhwah kerana Allah SWT, bertemu pada satu hari atas ketetapan Allah SWT.

Usai perbincangan mereka, Thaqif memanggil Alisa yang mahu keluar dari kafe. Syahirah dan Haziq diisyaratkan untuk tunggu sebentar di kawasan parkir kenderaan. “Alisa, maafkan saya jika saya mengungkit perasaan lama awak,”

“Mengungkit perasaan lama? Maksud awak?” soal Alisa.

Adrenalin mengalir, dan Thaqif memberanikan diri bertanya, “Awak dah jumpa cinta sebenar yang sejak dahulu saya mahu ia tertanam dalam diri awak. Jadi, ehem, masih ada tak ruang untuk cinta insan seperti saya untuk awak lepas ini?”

Tergelak kecil Alisa mendengarnya, dengan hikmah dia menjawab persoalan Thaqif, “Jika benar saya mahukan cinta daripada seorang lelaki, biarlah ia daripada seorang suami yang sah. Dan saya akan menerima insan tersebut dengan sepenuh hati saya kerana Allah SWT.”

“Asalkan sahaja dia mampu menjadi imam untuk solat saya, menjadi qari untuk membaca kalam Illahi untuk saya dan membimbing saya menuju redha Allah SWT. Agar saya mampu menjadi kekasihnya hingga ke syurga bersama. Itu sahaja permintaan saya,”

Jawapan daripada Alisa Nur Islam itu memberi cahaya baru dalam hidup Thaqif.

 “Insha allah, suatu hari nanti aku akan menjadi zauj yang terbaik buat kau, andai jodohku bersama kau, Alexa” bisik hati Thaqif bersama hasratnya untuk menjadi yang halal kepada gadis mua’laf dihadapannya itu.

4 comments:

  1. Replies
    1. thanks adam, hehe. first cerpen. edit and publish balik

      Delete
  2. republish?
    gaya bahasa, struktur ayat, kronologi.
    lebih matang, tahniah! teruskan usaha!

    AH.

    ReplyDelete

Comment