Pages

Thursday, June 8, 2017

Cerpen: Gagak dan Merpati

GAGAK DAN MERPATI

Kredit: Riot Pixels

Dua telapak tangan putih itu menekup sepasang matanya yang terpejam. Cahaya lemah terpancar daripada tangan wanita bernama Cita, sedaya upaya merawat bisa yang mencengkam kornea matanya dengan saki-baki sakti yang dia ada.

Sepasang mata kecil khusyuk memerhati Cita. Mata itu milik Poka, bertubuh kerdil dan punya naluri ingin tahu seorang kanak-kanak. Kak Cita, saya sedih tengok Kak Cita tanggung sakit. Sakti kak Cita macam makin lemah sejak Sultan Quddus Khan buat kakak buta, resah Poka dapat Cita rasa disebalik matanya yang terkatup hampir sebulan itu. Bibirnya diukir senyum, cuba memberitahu Poka yang dia baik sahaja.

Selesai proses rawatan, Cita mengambil kain putih lusuh di ribaannya lalu membalut dan menutupi matanya. Herba dari hutan Aurora yang sempat dibawanya semakin kehabisan untuk dilumur diatas kain balutan matanya yang hilang fungsinya itu. Biarpun Cita tak kisah akan kehilangan nikmat penglihatan, tapi rawatan berkala perlu dia lakukan kerana sumpahan daripada sakti Sultan Quddus Khan membawa bersama bisa yang menusuk.

Dapat dia rasa Poka duduk ditepinya. Sambil berteleku, Poka menunggu respon daripada wanita yang telah dia anggap seperti kakaknya sendiri itu. Poka, kakak tak apa-apa. Akak pernah rasa perit yang lagi sakit daripada bisa dalam mata ni. Poka jangan risau, ya? Lembut jawapan diberi. Tetap risau, namun Poka cuba menenangkan dirinya untuk tidak terlalu bimbang.

Cita..

Cita dan Poka menoleh ke arah suara itu. Suara milik Adrian. Di pintu masuk ke bilik bawah tanah berasaskan batu itu, dia bersandar.

Seperti selalu, kebolehan engkau untuk menyelinap dengan senyap cukup hebat Adrian. Aku tak sedar yang engkau sudahpun berdiri di situ. Cita meraba-raba kiri dan kanan, mencari beg sandang kulitnya. Poka sedar beg Cita terletak terlalu jauh daripada sisi wanita itu, cepat-cepat mengambil dan menyerahkan kembali kepada pemiliknya.

Nah, kakak..

Terima kasih, Poka.. Cita menyeluk ke dalam beg sandangnya, mencari sesuatu. Setelah jari jemarinya dapat merasa apa yang dia cari, dia mengalihkan wajah ke arah Adrian dan mengukir senyum. Hari ni ada satu lagi origami untuk kau, Satria Gagak Putih..

Adrian terus bersandar dan melepaskan keluh berat setelah mendengar gelaran itu lagi dari bibir Cita. Kau tak mahu? Adrian, aku tahu kau sukakannya. Tak mengapa, aku masih boleh bangkit. Biar aku bagi sendiri kepada kau, ya.

ZASSSS!!!

Sekelip mata, Adrian sudah duduk di kerusi kayu di sisi Cita. Poka yang sedari tadi disitu terkejut dan berundur ke belakang.

Empat tahun aku dah buang jauh pangkat daripada Jajahan Aurora tu, Cita. Aku, kau, kita berdua dah dibuang dan dibenci Jajahan Aurora. Tak ada lagi Adrian, antara 5 Pahlawan Suci dengan gelaran Gagak Putihnya dan kau Cita...huh... Entah berapa kali aku perlu ingatkan kau yang kau kini Cita, Srikandi Merpati Hitam..bukan lagi Merpati Putih. Aku lambang kematian, dan kau bukan lagi simbol keamanan dan kesucian. Kita berdua dah kotor sejak pertama kali kita jejak keluar dan khianat kepada kononnya mandat suci Sultan Quddus Khan, tegas Adrian panjang lebar.

Empat tahun, dan rasa benci kau kepada Jajahan Aurora masih tak padam. Masing-masing mengelamun jauh. Biar Adrian dan Cita, mengenangkan rakusnya Jajahan Aurora dan mandat sucinya. Jajahan Aurora yang diterajui kaum Peri, kaum suci dan bertamadun menjunjung mandat suci Sultan Quddus Khan yang mahu semua kaum yang membawa onar dan tamadun jijik dihapuskan. Kaum seperti Dev dan Ghul yang telah lama menghuni Tanah Pawaka dianggap ancaman utama di mata Sultan Quddus Khan yang baru memerintah selama 10 tahun setelah kemangkatan ayahandanya. Kononnya mereka penentang Tuhan dan keberadaan mereka hanya akan mengundang murka keatas seluruh negeri termasuk Aurora dan Pawaka.

Penentang Tuhan yang sebenar tu Ablasa dan tentera Daeva yang menguasai Dataran Insani! Bukannya kaum Dev dan Ghul! Bentak Adrian setelah mendengar titah mandat suci baharu Sultan Quddus Khan.

Jaga tingkah kau dengan Sultan! Gertak Han, Satria Garuda Emas, pemimpin 5 Pahlawan Suci Jajahan Aurora. Habib dan Ainul, Satria dan Srikandi Pungguk Perak hanya berdiri diam memerhati ketengangan yang berlaku.

Sudu dan garfu perak diletakkan kembali di atas pinggan. Santapan Sultan Quddus Khan belum selesai dihabiskan namun seleranya telah mula hilang. Matanya redup namun tajam menikam jasad Adrian. Sambil bersandar di kerusinya, dia memberi satu titah yang menjadi antara sebab Adrian tidak lagi bersama Jajahan Aurora.

Gagak tetap gagak. Putih atau hitam, kau nampaknya telah tercemar dengan simpati yang tiada nilai kepada manusia hina yang bersarang di Tanah Pawaka. Mulai hari ni, kau bukan lagi Satria Gagak Putih dan kau tak layak memegang darjat Pahlawan Suci. Sekarang, keluar.. Keluar!!

Tuanku.. Kenapa.. Cita yang baru menghadap ke dewan santapan diraja terkejut dengan titah Sultan Quddus Khan itu. Dia bakal hilang sahabat karibnya sejak di madrasah tentera dahulu. Dia membatu di posisinya. Han pula tersengih puas, Nyah kau dari sini, gagak sial! Kurang satu pesaing aku dalam Jajahan Aurora.. bisik hatinya. Habib dan Ainul tak mampu berkata apa walau hakikatnya mereka terkilan dengan apa yang berlaku. Ekspresi wajah Adrian kosong, sudah menjangka itu yang bakal diterimanya. Dia tahu Sultan tak akan menerima sebarang bantahan terhadap mana-mana mandat suci yang dititahkannya. Jadi pegangan rakyat Jajahan Aurora, titah Sultan adalah bisikan daripada Tuhan.

5 Pahlawan Suci, tentera elit Jajahan Aurora kini tinggal berempat. Sultan Quddus Khan terus meluaskan jajahan Aurora di Banjaran Titicahya sehingga kaum Dev dan Ghul terpaksa berundur ke Gunung Devon akibat banyak daerah di Tanah Pawaka ditawan Aurora atas nama menegakkan kalimah Tuhan. Manakala, Ablasa dan angkatan tentera Daeva semakin kuat di balik kubu mereka di Dataran Insani.

Sekurang-kurangnya bila aku duduk bersama kaum Dev dan Ghul, aku tak perlu jadi boneka si celaka Quddus Khan tu. Aku diterima disini sebagai saudara, bukan hamba, balas Adrian. Cita hanya senyap sambil jari jemarinya masih memegang origami didalam beg sandangnya.

Kau pun, sanggup khianat amanah untuk menjaga Kristal Suci dan Kristal Bayang di istana Aurora. Bukankah itu menunjukkan kau juga benci kepada pemerintahan Quddus Khan seperti aku?? Adrian cuba memberi provokasi. Selama hampir sebulan dia berdiam dan cuba mengelak daripada berbual dengan Cita, kali ini dia cuba untuk mendapatkan jawapan.

Benamkan Kristal Suci ke dalam Kolam Hitam di Jajahan Aurora.. Jemarinya melepaskan origami hasil tangannya dan meraba-raba mencari sesuatu didalam beg sandangnya. ..Dan tenggelamkan Kristal Bayang ke dalam Kolam Putih di Dataran Insani. Selepas itu, semua manusia akan bersatu, Ablasa dan tentera-tenteranya akan mampu dikalahkan. Sebuah bola kristal, hitam dan kelam dikeluarkan. Adrian diam. Poka terpana walau sudah beberapa kali dia melihat bola kristal itu.

Aku percaya dengan ramalan tu. Aku cuma mahukan keamanan dalam dunia ni, seperti kau. Aku mahu kaum Peri, Dev, dan Ghul bersatu hati. Aku mahu Ablasa dan tentera Daeva hancur dan Dataran Insani dimakmurkan oleh kita semua, manusia. Selagi Kolam Hitam dan Kolam Putih, sumber kuasa dan keseimbangan bumi kita masih ada, selagi itu kiamat belum tiba, selagi itu aku akan berjuang. Walau aku terpaksa mengkhianati tanah air aku sendiri.. Masih Cita ingat saat pertama kali dia membulatkan tekad untuk melanggar amanah yang ditanggungnya. Walau dia tahu Sultan Quddus Khan telah meletakkan sumpahan keatas sesiapa yang mengalihkan Kristal Suci dan Kristal Bayang daripada tempat asalnya, dia tidak peduli. Sabarnya telah lama hilang, rayu, dan sembahnya untuk Sultan Quddus Khan bersatu dengan puak Dev dan Ghul untuk merealisasikan ramalan berkenaan dan bersama-sama menewaskan kerajaan Ablasa ditolak bulat-bulat. Penglihatannya kabur selepas pertama kali dia mengalihkan Kristal Suci dan Kristal Bayang daripada tempat asalnya. Dan lama kelamaan, nikmat itu lenyap daripadanya. 

Aku dah lunaskan salah satu ramalan tu, aku dah benamkan Kristal Suci dalam Kolam Hitam. Aku tak akan berganjak daripada Tanah Pawaka selagi kau semua tak bantu untuk melengkapkan langkah seterusnya, Cita menyambung.

Derapan tapak kaki kedengaran menuju ke arah bilik dimana Adrian, Cita, dan Poka berada. Satu tubuh sasa dan tinggi muncul di muka pintu. Tu..Tuanku Rakh.. kehadiran Raja Rakh mengejutkan Poka. Wajahnya serius. Matanya tepat memandang ke arah Cita. Adrian cuma menanti apa yang akan berlaku selepas ini.

Kau fikir hanya dengan kekuatan kaum Dev dan Ghul sahaja mampu menawan sekurang-kurangnya Kolam Putih dan melengkapkan ramalan tu? Soal Raja Rakh. Dia merupakan keturunan terakhir daripada susur galur darah puak Narrahs, kaum yang dahulunya agung dan digeruni semua manusia termasuk kaum Peri. Tetapi kerana penguatkuasaan mandat suci Sultan Quddus Khan, kaumnya menjadi sasaran utama dan dihapuskan kesemuanya. Kini tinggal dia sebagai pemimpin utama kaum Dev dan Ghul serta pelindung kubu terakhir mereka diatas Gunung Devon daripada serangan Jajahan Aurora yang seterusnya.

Tuhan akan membantu hambanya yang berusaha, tenang Cita menjawab.

Adrian melepaskan keluh. Namun, dalam masa sama kagum akan kesungguhan dan pengorbanan Cita untuk meyakinkan kaum dengan sekeras-keras hati seperti Raja Rakh.

Aku dah fikirkan kesemuanya. Aku boleh bantu kau, tetapi darjat aku sebagai raja bukan bermakna semua keputusan muktamad ditangan aku. Semua kaum Dev dan Ghul dah menunggu di dataran istana ini, kau perlu yakinkan mereka semua sebelum aku memberi kata putus, Adrian dan Poka terkejut dengan apa yang baru diperkatakan Raja Rakh. Cita menguntum senyum.

***

Semua mata memerhati, menunggu patah kata daripada wanita berjubah putih lusuh di atas sebuah batu rata di perkarangan kubu. Hampir kesemua kaum Dev dan Ghul yang berteduh dibawah kubu Gunung Devon datang atas arahan Raja Rakh.

Kau rasa kaum Peri macam dia boleh dipercayai ke?

Mungkin dia ni pengintip daripada kerajaan Aurora,

Tapi takkan pengintip sanggup butakan mata sendiri?

Itu mungkin sakti dia mengaburi mata kita..

Aku rasa perempuan ni jujur. Tak semua kaum Peri jahat. Kau tengok Adrian, dia komander dan pelindung kita juga selama ni..

Boleh ke kita percayakan mereka??

Bisik demi bisik. Andaian demi andaian. Cita, walaupun buta, dia punya pendegaran dan deria keenam yang hebat. Mampu membaca gundah dan resah manusia sekelilingnya dari bisik dan perasaan.

Dengan nama-Mu Ya Tuhan, aku mohon permudahkan urusanku. Srikandi Merpati Putih atau Merpati Hitam, apa pun gelarannya, saya, Cita, berdiri disini atas arahan Raja Rakh. Untuk meyakinkan kamu semua, untuk bersama-sama saya untuk melengkapkan ramalan untuk menyatukan kaum Dev, Ghul, dan juga Peri yang selama ini bermusuhan..

Kau yakin ke dengan ramalan tu?

Macam tak masuk akal, tenggelamkan bola kristal dan dunia akan kembali aman??

Kecoh. Riuh. Masing-masing mula mempersoalkan ramalan yang dicanang-canang itu. Semua tahu akan ramalan tersebut tetapi tiada siapa yang dapat mengesahkan kebenaran dan logiknya.

Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui segalanya. Baik terang mahupun yang tersembunyi. Jawab Cita.

Masing-masing senyap, entah kenapa, mesej berbaur ketuhanan dibawa Cita seakan mudah diterima mereka dengan nada lembut tutur lidahnya. Cita seakan tahu cara apa mudah untuk kaum Dev dan Ghul terima.

Cita menarik nafas. Cuba menyambung, Sebelum sengketa ini semua, kita, Dev, Ghul, dan Peri hidup bersama dalam keamanan di Dataran Insani. Kita sendiri tahu bukan? Tetapi, kerana perluasan kuasa Ablasa dan tentera Daeva, kita ditawan, dipecah perintah, lalu diberi kononnya kemerdekaan. Aurora dan Pawaka kini hidup dalam pemikiran sendiri dan terus bermusuhan.

Raja Rakh dan Adrian menumpukan perhatian lebih kepada Cita. Begitu juga perkumpulan kaum Dev dan Ghul. Ada puak yang membelakangi Tuhan, ada puak yang merasa diri lebih daripada Tuhan. Adrian, juga saya, mengkhianati kerajaan Aurora kerana kami sedar akan silap kami, kaum Peri selama ini. Dengan kelebihan ilmu dan tamadun yang kami ada, yang kami tahu hanya untuk menindas dan memandang jijik kepada kamu semua, kaum Dev dan Ghul. Tak pernah sekalipun kami cuba membimbing atau berkongsi ilmu kami. Kami terus angkuh dan memandang rendah semua yang ingkar kepada Tuhan..

Pengakuan ikhlas Cita membisukan semua. Tidak pernah sekalipun mereka mendengar seorang Peri tunduk merendahkan diri dan memohon maaf atas keangkuhan mereka selama ini atas darjat dan ilmu mereka.

Kristal Suci pasangannya Kolam Hitam, Kristal Bayang pasangannya Kolam Putih, tidakkah kita sedar? Ramalan itu memberitahu kita bahawa tiap daripada kita perlukan nilai kemanusiaan. Buang semua ego dan sematkan kasih sayang. Jahat mana pun kita, pasti ada titik putih yang boleh kita cari dan sentuh. Baik mana pun kita, kita tetap manusia dan kita tak akan pernah sempurna..

Tangan Cita menyeluk beg sandangnya, mencari sesuatu. Dikeluarkannya Kristal Bayang, dipertontonkan kepada khalayak Dev dan Ghul dihadapannya.

Selepas saya hilang cahaya daripada kedua mata ni, saya semakin mudah memahami kamu semua, bukan melalui pandangan zahir. Tapi pandangan hati, dan saya semakin sedar yang kita semua sama. Baik Peri, Dev, atau Ghul, kita tak akan pernah sempurna, tapi kita boleh usaha untuk menuju kesempurnaan..

Sebentar! Semua mencari-cari suara yang tiba-tiba menghentikan Cita. Muncul Raja Rakh daripada belakang muncul dengan postur gah dan berdiri di sebelah Cita.

Bagaimana kau yakin ramalan itu akan berjaya, dan Ablasa akan dapat kita..manusia kalahkan? Soal Raja Rakh, tegas.

Cita tersenyum, bersedia dengan soalan tersebut. Dia sendiri tidak tahu logik di sebalik ramalan tersebut. Tetapi dia tahu satu, Kita tiada cara dan kekuatan lain untuk melawan Ablasa dan tentera Daeva. Tetapi dengan harapan dan kepercayaan yang kita panjatkan pada Tuhan dan ramalan yang Dia sampaikan, saya yakin, daripada situ kita akan mendapat kekuatan untuk menyokong perjuangan kita. Saya tak boleh berjuang seorang diri. Saya perlukan tenaga kalian semua, untuk cuba mengembalikan keseimbangan dunia kita, bersama..

Raja Rakh memejamkan mata mendengar penjelasan tersebut. Buat pertama kali sejak beberapa tahun, dia tersenyum, dan mengalihkan pandangannya kepada Cita. Kau benar-benar wanita bijak dan mulia. Cukup berani dengan pegangan yang kau percaya. Baiklah, kalau begitu.. Raja Rakh menghadap khalayak Dev dan Ghul dibawah pemerintahannya.

Buat persiapan, kita akan mengiringi Cita dan kita akan pastikan Kristal Bayang tenggelam di dasar Kolam Putih tiga hari lagi. Ablasa akan kita tewaskan, dan Dataran Insani bakal menjadi milik semua umat manusia kembali!

Laungan semangat Raja Rakh disambut dengan sorakan sokongan penuh daripada khalayak Dev dan Ghul. Kelihatan basah air mata di balutan mata Cita. Terharu kerana hasratnya disokong.

Sorakan berterusan, ada segelintir kaum Dev dan Ghul yang bersemangat terus bertebaran membuat persiapan artileri dan bekalan sebelum mereka berangkat ke Dataran Insani. Poka datang ke arah Cita, memimpin tangannya untuk dibawa masuk ke istana. Perlahan-lahan dia menuruni tangga diiringi Raja Rakh. Adrian yang masih bersandar dibalik tiang perasan akan Cita yang melepasinya. Riak wajah Cita memacar sinar gembira tak tergambar. Seketika, dia terkenang kembali saat pertama kali dia menatap wajah gembira itu di tanah Aurora dahulu.

Kau wanita agung.. Cita.. Bisik hati Adrian.

***
Bait demi bait, rangkap demi rangkap. Adrian masih khusyuk di atas meja di kamarnya, menulis sesuatu di atas hamparan cebisan kulit kambing Gunung Daevon. Tingkap sengaja dibuka, sekali-sekala dia memandang ke langit dan mengimbas kembali sewaktu dia berbaring di puncak gunung Frieden di Banjaran Titicahya dahulu. Tak tergambar indah langit malam waktu itu berbanding lukisan langit yang dilihatnya di Tanah Pawaka kini. Namun, ia tetap juga indah untuk ditatap.

Maha Suci Tuhan, kau cukup hebat dengan ciptaan Engkau.. Spontan pujian itu terpacul daripada bibir Adrian tanpa dia sedari.

Betulkah apa yang aku dengar dari lidah kau, Adrian?

Adrian terkejut daripada lamunan. Dia menoleh ke belakang dan melihat Cita di muka pintu dengan Poka disisi. Mungkin dalam perjalanan pulang ke kamarnya selepas mengambil angin di luar istana. Turun naik nafas Adrian mencari jawapan kepada soalan Cita.

Aku..aku..

Kau masih ada jiwa Adrian yang dahulu. Cita mengisyaratkan kepada Poka untuk memimpinnya ke arah kerusi untuk dia duduk sebentar. Kau tahu, Adrian? Sejujurnya aku tak pernah setuju dengan keputusan kau untuk mengendahkan Tuhan dan ketaatan kau kepada-Nya sejak kau meninggalkan Aurora. Aku tahu, Quddus Khan dan mandat sucinya itu tak betul pada kau. Begitu juga aku. Tapi aku tak pernah rasa itu semua alasan untuk kita tuding jari kepada Tuhan.

Adrian senyap. Membiarkan Cita menghabiskan cerita. Apa pun, dalam masa sama, aku yakin pada kau, Adrian. Aku kenal kau sejak dari kita belajar bersama lagi. Aku tahu hubungan kau dengan Tuhan tak pernah renggang. Kau suka panjat Gunung Frieden semata-mata untuk berbaring di atas puncaknya dan memuji Tuhan kerana menciptakan lukisan-lukisan indah di langit. Sampai sekarang, ada titik putih yang masih bernafas dalam jiwa kau.


Cita..

Ya?

Kau rasa, aku masih ada peluang ke..untuk kembali?

Cita menguntum senyum. Selagi kiamat kecil, iaitu mati dan kiamat besar belum tiba, pintu untuk kembali sentiasa terbuka.

Adrian turut tersenyum. Gembira dan kagum atas kelembutan yang ada pada diri wanita dihadapannya. Oh ya, apa yang kau tulis waktu-waktu begini, Adrian? Hmm.. Aku dapat rasakan angin daripada luar.. Kau buka tingkap? Rindukan langit Aurora atau mencari ilham untuk tulisan kau?

Oh.. Err.. Aku sedang, sedang.. Haa, menulis untuk urusan kerajaan Pawaka.

Urusan kerajaan Pawaka? Haha! Adrian, Adrian. Aku mungkin buta disini. Tapi aku dapat baca rasa cemas kau. Cita senyum nakal. Cuba memerangkap Adrian. Adrian pula mati bicara untuk menjawab kembali.

Engkau menulis syair ke, Adrian?

Syair..?

Ya, seperti yang kau pernah karang semasa di madrasah tentera dahulu. Semasa kau cuba memikat Ainul sebab kau tahu dia cintakan sastera. Tetapi sayangnya, syair dan cinta kau ditolak sebab dia lebih sukakan Habib daripada kau? Haha, aku ingat lagi waktu tu. Aku yang terpaksa tenangkan kau yang macam hilang punca sebab syair kau ditolak mentah-mentah. Pipi Adrian merah mengingatkan kenangan itu. Poka disisi Cita ketawa kecil mendengar cerita mereka.

Poka, kau jangan sebarkan cerita aku ni ye? Adrian sedar akan tingkah Poka. Cuba memberi amaran lantaran malu yang dirasa. Poka diam dalam menahan geli dihatinya. Mana tidaknya. Siapa yang tak kecewa kalau seseorang yang dia suka tiba-tiba dah menjalin perasaan dengan orang lain. Syair tu aku tulis di atas puncak Gunung Frieden, perah otak aku mencari ilham. Cita tersengih, lucu mendengar pengakuan Adrian.

Tapi.. Lepas tu, kau sendiri yakinkan aku. Syair mahupun nukilan perasaan yang berterus-terang, yang penting, apa yang kita ucap dan lagukan, ikhlas rasanya datang dari hati kita. Nasihat kau yang kuatkan aku. Terima kasih..

Aku gembira kau masih ingat. Lagipun, aku nasihatkan kau masa tu sebab aku nak kau berhenti bersyair lagi. Hahahaha!

Cita..? Kau pun fikir syair aku.. Baik, aku faham. Hmmm.. keluh Adrian, menyedari bakat bersyairnya yang cukup memalukan dahulu.

Hehe, maaf Adrian. Tak apa, kalau benar kau mahu cuba asah bakat bersyair kau, aku sokong kali ni. Banyakkan mengingat Dia kalau kau hilang punca. Dengan izin Dia, ilham akan sampai kepada kau. Aku masuk ke kamar dahulu. Selamat malam, Satria Gagak Putih.. Cita bangkit dan Poka lekas-lekas mencapai tangannya untuk dipimpin.

Adrian memerhati tiap langkah Cita. Setelah wanita itu berlalu, dia menoleh kembali kepada tulisannya sebentar tadi. Dia menatap pula origami gagak putih disebelah botol dakwat hitam yang baru diberikan Cita kepadanya siang tadi, hatinya berbisik, Andai kau dapat baca apa yang tertulis dalam nukilan hamparan ini, andai kau dapat baca apa yang tertulis dalam hati aku, Cita..

***

Kredit: weknowmemes

Dengan nama Tuhan Yang Agung, demi mandat suci Yang Mulia Sultan Quddus Khan!

Hapuskan semua penderhaka agama Dev dan Ghul!!

Hapuskan semua maksiat dari bumi Tuhan!

Tentera Peri! Tentera Peri menuju ke istana!

Siapkan senjata! Semua askar bersedia!

Ibu, kita nak lari kemana ibu??.. Kenapa ayah tak ikut sekali..

Semua wanita, anak kecil, dan warga tua! Lari ke terowong bawah tanah!

Demi Tuhan Yang Agung! Serang!!!!

Kuatkan benteng pertahanan!!

Itu..itu Han, Satria Garuda Emas bersama Habib dan Ainul.. Tuan! Kita perlu berundur!

Mereka ramai! Tentera Peri terlalu kuat!!

Atmosfera gelap. Bau hanyir darah dan mayat. Bunyi besi pedang, tombak, dan cokmar berlaga. Dentuman meriam dan laungan tentera menahan seksa. Hari itu, tiap nyawa musuh kerajaan Aurora melayang tak kira lelaki, wanita, tua, mahupun si kecil.

Kredit: Cinemania

Cita..?!! Adrian muncul di muka pintu kamar , cedera dan luka. Riak wajahnya yang risau kembali reda melihat Cita bersimpuh sambil menyilang jari-jemari kedua belah tangannya. Lidahnya tak berhenti menyeru nama Tuhan yang dia percaya.

Adrian dengan saki baki tenaganya berlari merapati wanita itu. Cita.. Kita harus lekas. Istana Gunung Daevon dah ditawan. Aku mesti bawa kau ke terowong rahsia. Kita mesti pergi dari..

Aku dapat dengar, Adrian. Aku dapat dengar, cungap nafas Han, Habib, dan Ainul menghampiri kita. Adrian tidak terkejut mendengarnya. Dia sedar perkarangan istana kini sudah dikelilingi tentera Peri yang datang membuat serangan mengejut sesudah matahari terbit.

Han, Habib, atau Ainul. Pahlawan Suci atau Ablasa sekalipun, mereka bukan Tuhan! Kita kena usaha dan mati berjuang. Bukan berputus harap dan mati sia-sia! Tangan Adrian cuba membangunkan Cita, ingin membawanya keluar. Wajah Cita yang menunduk sedari tadi mendongak memandang ke arah pintu kamar. Ekspresinya cemas. Adrian turut melihat ke arah  dimana wajah Cita menghadap. Di situ, berdirinya jasad Raja Rakh. Matanya putih dan seluruh tubuhnya berlumuran darah. Kedua belah tangannya putus sehingga ke siku. Urat dahinya timbul dan berselirat. Adrian dapat mengagak apa yang berlaku. Han..!

Dalam sesaat, kepala Raja Rakh meletup. Cebisan daging, otak, dan segala organ dan tengkorak bertebaran. Darah memercik di lantai dan dinding kamar. Jasad malang itu rebah menyembah bumi. Menampakkan empunya angkara berdiri megah dibelakangnya. Han, Satria Garuda Emas melambaikan tangannya dan serta-merta perisai cahaya yang melindunginya daripada tebaran letupan kepala Raja Rakh hilang. Jijik!! Jijik!! Kakinya memijak-mijak mayat Raja Rakh yang baru dimanipulasi untuk mandapatkan maklumat dimana Cita berada. Manusia dengan kepercayaan yang lemah mudah dikawal. Macam Rakh, raja bongok ni! Heh! Han melangkah masuk dengan angkuh. Dia meludah ke jasad Raja Rakh sebelum mengalihkan pandangan ke arah Adrian dan Cita. Sengih sadistik dihadiahkannya kepada dua bekas rakan seperjuangannya dahulu.

Apa khabar, Gagak Hitam dan Merpati Hitam. Pengkhianat Sultan dan Tuhan!

Siapa pengkhianat agama?!! Setahu aku, kau yang tak dapat bezakan siapa Sultan, siapa Tuhan. Kau bukan berjuang untuk Tuhan, kau memperguna Tuhan untuk nafsu kau! Kau pengkhianat sebenar!! Tangan Adrian melepaskan Cita perlahan. Seketika dia cuba menenangkan Cita yang kelihatan berpayahan mencari nafas. Satria Gagak Hitam itu berdiri dan bersedia dengan dua bilah tekpi di kedua belah tangannya.

Adrian! Cita! Habib tiba, diekori isterinya Ainul di belakang. Han! Kau buat apa dengan Raja Rakh?!! Dia sepatutnya dibawa hidup-hidup ke istana untuk hukuman sepatutnya!

Mata Han tetap tertancap pada Adrian dan Cita. Tangannya bercahaya merah, bersedia menangkis serangan Adrian. Dia tak perlukan senjata, tubuhnya sendiri adalah senjata dengan kuasa cahaya merah yang bersarang. Hukuman apa lagi yang sepatutnya dari dipenggal kepala di Penjara Sangsara di istana Aurora? Jangan jadi naif, Habib. Sultan Quddus Khan sendiri yang beri restu untuk aku selesaikan nyawa Rakh ni. Tak lupa, dua bangsat di depan kita sekarang.. Hehehe..

Ainul yang melihat Cita menggigil seakan menahan sakit seakan tersentuh dan cuba menghampirinya, Cita? Kau tak apa-apa ke? Menyedari Ainul mahu membantu Cita, Han dengan pantas membelakangi Adrian dan Cita. Tangannya diacu ke leher Ainul, menghalangnya dari meneruskan niatnya.

Apa kau cuba buat ni, Han?!! Ini isteri aku! Sahabat kau! Habib menarik isteri tercintanya jauh daripada Han yang semakin menggila.

Ini peluang aku! Bisik hati Adrian. Sepantas angin, jasadnya berlari, terapung dari lantai, dengan kedua bucu tajam bilah tekpinya mencari jasad Han untuk diratah.

Tinggg!! Kraakkk!! Zuppp!!!

Tekpi melayang. Tangan Adrian dikepit dan sekelip mata dipatahkan. Tubuhnya ditekan dari belakang lalu jatuh mencium lantai. Lumpuh kau celaka!! Satu tusukan jari-jari Han menusuk belakang Adrian.

Arghhhhhh!!!

Cita tergamam mendengar jeritan Adrian. Balutan matanya basah bermandikan air mata. Tiba-tiba, mulutnya termuntahkan cecair hitam, batuknya tak berhenti dan seluruh kulitnya memperlihatkan urat-urat yang kehitaman.

Betina!! Tusukan ke atas Adrian yang sudah lumpuh ditarik keluar. Mata Adrian terbeliak, lidahnya kaku, semua otot-ototnya tak mampu lagi digerakkan. Jasadnya seakan-akan dipanah petir. Ternyata Han lebih pantas daripadanya sejak 4 tahun dia meninggalkan Jajahan Aurora. Tubuhnya tak mampu berbuat apa-apa. Habib dan Ainul hanya membatu. Tak mampu untuk membantu kedua Adrian mahupun Cita. Han terlalu kuat dan gila untuk mereka berdua ingkari.

Kau tanam Kristal Bayang dalam jasad kau ke, hah?!! Keluarkan sekarang, sialan!! Berang Han. Dia mencangkung lalu menggeggam jubah lusuh Cita. Jasad lemah itu digoncang-goncangnya. Emosinya sudah tidak terkawal. Dia tak mampu menerima sebarang kegagalan. Kristal Bayang, satu-satunya sumber kuasa dan keagungan Jajahan Aurora mesti dikembalikan semula. Jajahan Aurora sudah kehilangan Kristal Suci, itu sudah cukup meresahkan Sultan Quddus Khan.

Kalau kau.. Nak sangat bola kristal tu, kau ambil sendiri.. Manusia berlagak Tuhan..!! Lemah dan hampir kehilangan tenaga Cita mencabar Han.

Kau sendiri yang nak mati!! Tangan yang sama melumpuhkan Adrian, tangan itu juga yang menikam dada Cita. Bibir wanita yang sudah lali dengan sakit dan seksa itu terus menguntum senyumsebelum tubuhnya rebah. Perlahan-lahan mata bundar Cita terpejam dan Srikandi Merpati Putih menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Han berdiri daripada cangkungnya. Habib yang sedari tadi memerhati tertanya-tanya apa yang berlaku. Ainul menahan sebak, air matanya gugur melihat Adrian menahan seksa lumpuh yang ditanggung dan Cita yang kini sudah tiada. Keduanya masih sahabat dihati mereka, walau punya fahaman berbeza.

Han..?? Habib memanggil Han setelah lama dia membisu.

Han berpusing perlahan ke belakang. Tangan kanannya mengeluarkan asap-asap putih. Kulitnya melecur. Dan setiap kepulan-kepulan asap yang berkumpul itu membentuk bayangan seekor merpati sebelum ia hilang diterbangkan angin.

Arahkan semua tentera kita. Cari Kristal Bayang sampai dapat.. Wajah Han menahan geram. Dia berjalan laju meninggalkan bilik dimana pertumpahan darah baru selesai. Habib dan Ainul saling berpandangan memikirkan apa yang baru berlaku. Urat-urat hitam di wajah Cita sudah surut. Lama Habib memerhati jasad kaku sahabatnya itu sebelum dia dapat meneka apa yang sudah terjadi.

Sakti Cita masih berbaki.

Sakti? Soal Ainul.

Sakti dia telah mengaburi mata kita. Kristal Bayang tidak ditanam dalam tubuhnya. Dia berpura-pura sakit dan apa yang kita lihat padanya tadi semuanya daripada bayangan sakti dia. Han hanya berjaya menarik keluar roh dia yang disalut jerat api yang lemah tetapi cukup untuk mencederakan Han.. Jelas Habib merungkaikan persoalan.

Kau berdua buat apa lagi dalam tu!! Keluar!! Dari jauh Han menjerit, mengarah Habib dan Ainul pulang. Keduanya masih kaku disitu, memandang mayat Cita yang setia dengan senyumannya dan Adrian yang masih lumpuh. Rasa simpati muncul dalam hati mereka. Ingin sahaja dia membawa Adrian bersama untuk cuba dirawat di Aurora. Tetapi sakti Han cukup kuat untuk disembuhkan. Habib dan Ainul perlahan-lahan meninggalkan sahabat mereka dengan berat hati.

Maafkan kami, Adrian, Cita, permohonan maaf terpacul daripada lidah Ainul. Sugul wajahnya memikirkan apakah mereka akan dimaafkan kedua sahabat mereka itu.

Srikandi Pungguk Perak itu berjalan dihadapan mencari Han. Habib dibelakang menyeluk disebalik baju perisainya. Segulung kulit kambing Gunung Daevon dikeluarkan. Beberapa rangkap tulisan tercatat dihamparannya. Mata Habib khusyuk membaca setiap bait kata. Dia seakan dapat memahami damba cinta dari sentuhan aksara Adrian diatas hamparan itu yang tidak tercapai ke hati Cita, yang dicintainya sejak dahulu lagi..

Salam sejahtera, Cita,
Maafkan aku kerana mengganggu kau dengan nukilan aku kali ini. Pertama sekali, aku mahu ucapkan tahniah kepada kau atas ucapan kau di perkarangan istana tadi, serta terima kasih untuk origami gagak putih yang kau tak jemu kirimkan setiap hari. Aku masih simpan semuanya di dalam kamar aku.

Dan aku juga masih menyimpan perasaan aku kepada kau.

Tulisan aku tertangguh. Kau datang di muka pintu kamar aku. Bual yang sekejap, tapi bermakna bila kau ingatkan aku kepada kenangan kita dahulu. Kenangan bilamana kau yakinkan aku, walau kita hilang madah bicara dan syair pujangga, selagi kita ikhlas dan tak lupa pada Maha Memberi segala cinta, cinta itu akan sentiasa wujud untuk kita terus berharap..

Atas keyakinan yang kau beri, kelembutan yang kau semat dalam setiap patah kata, senyuman kau yang tak pernah mati, dan jiwa kau yang cukup mulia, aku jatuh hati dengan kau sejak daripada itu.
Tapi sekali lagi, maafkan aku kerana menyimpan semua ini terlalu lama, sehingga waktu aku meninggalkan Aurora, lafaz cinta ini masih aku pendam. Aku cuba lupakan kau sewaktu di Tanah Pawaka kerana aku fikir kau dan aku kini di dunia dan pemikiran berbeza. Ternyata, aku salah. Dia temukan aku dengan kau kembali. Aku lihat kau rebah di dasar Gunung Daevon. Sedaya upaya aku yakinkan Raja Rakh untuk tidak mengapa-apakan kau dan bersumpah untuk melindungi kau dari mereka.

Dan di perkarangan istana tadi, akhirnya kau berjaya yakinkan mereka akan hasrat kau. Aku kagum dengan keberanian dan ketulusan kau.

Kau merpati suci, juga bidadari kepada kami manusia yang tersilap langkah, membawa harapan dan kasih sayang yang ikhlas.

Kau menyakinkan aku kembali akan rasa cinta aku kepada kau yang sebenarnya tak pernah padam.
Aku harap, Tuhan memberi aku kekuatan untuk menyampaikan warkah ini kepada kau. Atau sekurang-kurangnya, deria unik kau dapat merasa apa yang aku rasa kepada kau..

Dengan nama Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, Cita, aku cintakan kau...

***

Setiap batuan dan anak sungai dia redah. Sekali-sekala lutut dan kakinya terluka akibat tersilap langkah. Namun, perjalanan mesti diteruskan.

Poka, Poka mesti selamatkan dunia ni. Kak Cita percayakan kamu, dan kamu pula..mesti percayakan Dia..

“'Dia..Dia siapa kak? Kak Cita, Poka takut. Poka tak berani..

“'Dia itu adalah Tuhan. Cari kaum Pixie di Gua Fiksi. Mereka akan menunjukkan kamu jalan ke Lembah Imagin. Disitu akan ada saki-baki kaum Dev dan Ghul serta beberapa kaum Peri yang meninggalkan Jajahan Aurora berada. Minta pertolongan mereka untuk bawa Kristal Bayang ke Dataran Insani.

Cita menyerahkan Kristal Bayang kepada Poka. Tubuh kecil itu menggeletar, sedaya upaya menyambut bola kristal itu lalu dimasukkan kedalam beg galas kulitnya. Beg itu digalas sebelum dia pantas memeluk tubuh Cita yang disayanginya seperti saudara sendiri. Cita membalas pelukan itu, dalam senyum dan sebak dia cuba memberi kekuatan kepada Poka.

Poka mesti kuat. Kakak tahu, kamu takut dengan kaum Pixie yang susah dipercayai tu. Kakak akan sentiasa berdoa, semoga mereka semua tak akan mengapa-apakan Poka, dan mereka akan membantu perjalanan Poka. Yakinlah, Lembah Imagin itu wujud. Tuhan akan sentiasa bersama Poka. Terus percaya pada-Nya..

Poka melepaskan pelukannya dan terus berlari keluar tanpa menoleh walau hatinya sedih untuk meninggalkan Cita seorang dikamar. Tetapi dia tiada masa, Tanah Pawaka sudah dikepung dan dia mesti cepat ke jalan rahsia menuju ke arah Gua Fiksi.


Tuhan.. Bantu aku.. Tapak kecil itu terus berlari dalam misinya sebagai hamba Tuhan, untuk memakmurkan kembali dunia.

No comments:

Post a Comment

Comment