Pages

Tuesday, February 12, 2013

Upin & Ipin Grown Up: Kasih Antara Kita part 1

Kredit Gambar

Sayu pagi jam 11.12 itu.

Tanah perkuburan Kampung Durian Runtuh itu dibasahi hujan renyai-renyai. Seperti turut sama menangisi kehilangan nenda tersayang 3 beradik yatim piatu, Ros, Upin dan Ipin.

"Sabar, Ros. Dugaan Allah ada hikmah. Dah sampai masa Opah. Allah sayang Opah," Badrol memujuk isterinya itu. Ros menyandarkan kepalanya di atas bahu suaminya. Cuba mencari sisa kekuatan. Sebak.

Upin dan Ipin, kembar yang masing-masing telah berusia 28 tahun. Berlutut di hadapan kubur yang kini bersemadinya jasad Opah yang telah kembali ke rahmatullah.

Upin masih tenang menadah tangan berdoa untuk arwah. Isterinya di sebelah, Syahirah turut sama mengharap rahmat ke atas roh nenda suaminya.

Ipin? Masih termenung, riak wajah seperti masih terkejut dengan apa yang berlaku.

Orang kampung yang menguruskan pengebumian Opah telah pun pulang. Tinggal mereka sekeluarga masih disitu.

Ipin yang sedari tadi duduk diam bangkit. Meninggalkan Kak Ros, Upin dan keluarga mereka. Hanya dia yang masih membujang dan melanjutkan pelajaran PhD nya.

"Ipin.." Kak Ros cuba memanggil adiknya. Dia sedar, sejak menerima berita Opah mengalami serangan jantung dan pergi meninggalkan mereka buat selamanya pagi tadi, dia mula menjadi dingin terhadap keluarganya.

"Ipin.. Tunggu!" Upin sudah cukup masak dengan sikap adik kembar nya itu.

****

"Kak Ros dah berumahtangga. Kau pun sama, dah grad terus menikah dengan Syahirah tu," kata dari lidah Ipin itu cukup menusuk ke hati Upin. Kenapa perkara itu jadi persoalan??

"Ipin, kenapa kau cakap macam tu?" Dalam berang, Upin cuba mengawal amarah. Posisinya yang sedang berdiri tadi terus duduk. Sunnah, untuk redakan marah.


Beranda rumah kampung mereka itu menjadi saksi bermulanya salah faham antara dua beradik itu.


"Sejak kecil, Upin. Sejak kecil kita hilang mak, hilang ayah. Kak Ros pun dah jarang-jarang balik kampung lawat Opah sejak dah berkeluarga. Kau pula? Balik je sibuk dengan isteri kau!"


"Ni dah kenapa kau kurang ajar ni, Ipin! Aku balik ni bukan nak cari hal dengan kau." Tudingan jari Ipin tadi mengganggu emosi. Dia bangkit tanda amaran. Jangan naikkan darah dia.


"Diam! Kau tahu tak kenapa aku tak nak kahwin dan nak sambung pelajaran lagi? Aku nak banggakan arwah ibu, ayah, nak gembirakan Opah, kau, Kak Ros...." Luahan Ipin terhenti.


"Upin! Ipin!” Opah muncul di muka pintu.



“Dari dapur Opah dengar kamu berdua bertekak. Apa yang tak kena ni, Upin, Ipin??" Dia kelihatan risau. Suaranya lemah. Jasad tua itu semakin lama semakin berat menanggung kudrat yang semakin lemah dengan penyakit tua yang dialami.

Melihat Opah, Ipin tidak sampai hati meneruskan perbalahan. Upin juga begitu.

“Ipin.. Cakap dekat Opah apa jadi ni? Ipin!” Ipin hanya berlalu meninggalkan Opah dan Upin di beranda. Bunyi pintu bilik ditutup kuat, menandakan protes Ipin.

“Sejak akhir-akhir ni Opah, Ipin hilang pertimbangan.” Upin menghela nafas panjang. Kerusi kayu di beranda menjadi labuhan punggungnya.

“Sejak Kak Ros bernikah ke?” Opah turut menyertai Upin duduk di beranda. Membincangkan perkara yang baru terjadi. Jujur, hati seorang nenda mana yang tak sayangkan cucunya. Apatah lagi selepas melihat silaturrahim antara kembar yang rapat ini mula tegang.

Upin meraup wajahnya. Wajah uzur itu ditenungnya. Kasihan Opah. Di usia yang menginjak lewat begini dia terpaksa melihat krisis cucunya sendiri.

“Maafkan Upin, Opah,” tangan Opah dicium Upin. Opah separuh terkejut.

“Kami adik-beradik nak sangat Opah bahagia. Kami fikir dengan segulung ijazah dan keluarga bahagia yang kami cuba bina, cukup untuk gembirakan hati Opah. Tapi masalah yang baru terjadi ni…”

Upin tidak dapat meneruskan ayatnya. Terkesima, rasa bersalah atas kegagalan.

Opah senyum. Dia memeluk tubuh cucunya yang kelihatan sebak itu.

“Upin, Opah memang harapkan yang terbaik dalam hidup kamu 3 beradik. Kamu semua dah usaha. Kamu semua dah berjaya di mata Opah,” ucap Opah lembut, mampu menghangatkan embun pagi. Mampu mencairkan beku hati. Diusapnya kepala Upin perlahan. Cucunya berasa tenang dalam dakapan Opah tercintanya itu.

Lebih 20 tahun pemergian anak dan menantunya, membuatkan dirinya terlalu peka akan perihal cucu-cucunya. Selama itulah dia ibu, dialah ayah. Dia Opah.

“Allah SWT sayang kita dengan turunkan kita ujian. Alhamdulillah, Allah kurniakan kamu semua kejayaan, kurniakan keluarga. Tu ujian tu. Tapi Upin, Ipin, Kak Ros masih tetap dengan jalan Tuhan. Opah doakan kamu akan terus kekal kuat atas jalan-Nya..”

Opah meneruskan pesannya. Dakapan dilepaskan dan dia menyentuh pipi cucunya itu.

“Dan ujian Tuhan juga datang dengan musibah. Jangan sangka apa yang berlaku ni kegagalan dan penamat, Upin. Opah akan tetap bangga dengan kamu. Selagi kamu kuat, selagi kamu usaha untuk jernihkan keadaan. Ingat, sekali kita satu keluarga, kita tetap akan jadi satu keluarga. Hingga jauh ke syurga,”

****
Mata Upin berkaca. Air mata membasahi kelopak mata. Andai Opah ada, mungkin dia lah insan yang mampu menenangkan gundahnya saat ini. Ipin yang dikejarnya petang tadi dengan harapan untuk menyelesaikan konflik yang terjadi gagal. Adik kembarnya itu enggan bercakap sepatah dengan dirinya.

Syahirah di tempat duduk penumpang sebelahnya perasan akan riak wajah sugul suaminya. Suzuki Swift yang dipandu Upin menyusuri jalan setelah pulang dari tanah perkuburan Kampung Durian Runtuh tadi.

“Sabar bang, inshaallah. Usaha dan doa abang Allah dengar. Dia akan bantu abang dan Ipin,” sungguh indah ciptaan Tuhan. Dia jadikan Hawa bukan sekadar peneman buat Adam, tapi juga untuk menyembuh hati cinta hati yang retak dihempap dugaan dunia.

Senyum. Garis ekspresi Upin meyakinkan Syahirah suaminya senang dengan pujukannya. Wanita itu membetulkan posisi duduknya. Berat dirasakan perut yang mengandungkan anak kembar itu. Imbasan telah dilakukan, kembar perempuan menurut doktor. Wallahua’lam.

“Hello, Ipin. Apa duduk makan sorang-sorang. Tak ajak saya meh?” Mei Mei yang kebetulan berada di situ menyapa Ipin. Café HS sebelah sungai Teh Tarik Biawak UIAM menjadi singgahan Ipin untuk makan tengahari. Kenapa teh tarik biawak? Kerana warna sungai dan penjajahan penghuni iaitu sejenis reptilia yang bernama biawak disitu membawa gelaran sedemikian rupa.

“Oh, Mei Mei. Duduklah..” Acuh tak acuh jawapan Ipin. Garis mukanya yang kelihatan sugul dan teh tarik (teh tarik lagi…) yang masih tidak dihirup menambah persoalan.

“You tak makan ke? Ke duit habis spend dekat research. Ala, rileks maa.. saya boleh belanja. Kita pun sama-sama ambil PhD sini, kawan dari kecil..” Prasangka spontan Mei Mei hanya disambut gelengan kepala Ipin. Mei Mei diam.

Selepas pengebumian Opah selesai beberapa hari lepas, Ipin terus pulang ke rumah kampung halamannya. Mengambil segala beg pakaian untuk segera pulang. Baginya, lagi lama dia di situ, kenangan bersama arwah Opah akan terus menghantui.

Dan..

Dia mula berfikir akan kesalahannya merosakkan hubungan saudara antara dia dan Upin dan Kak Ros. “Adakah aku terlampau pentingkan diri sendiri??” Bisik hati Ipin.

“Ohoi! Dating ke??” Suara Mail dari belakang mematikan lamunan Ipin. Mei Mei pula kelihatan gelabah. Peluh.

Betulkan scarf, ehem! “Hei Mail, apa lu janji jam 12. Ini sudah…err…belum lagi jam 12 ka??” Kantoi. Mail dan Ipin memandang Mei Mei pelik.

“Aduh! Janganlah terbongkar perasaan aku kat Mail..” jerit hati Mei Mei.

“Gua rasa la, lu lapar sangat Mei Mei. Apa kata, lu pergi jumpa itu mak cik café, beli lunch sepinggan dua. Belanja gua, sedekah itu baik maa..” Gurau Mail. Dia dan Mei Mei dah biasa main ‘lu’ ‘gua’. Mungkin jika takdir jodoh antara mereka, akan tukar jadi ‘papa’ dan ‘mama’.

Mei Mei hanya bangun. Mencebik bibir dan pergi mengambil nasi dan lauk untuk makan tengahari. Dalam perjalanan, baru dia teringat. “Eh, aduh!Aku sudah lupa. Baru berapa hari Opah sudah meninggal. Maaf la Ipin,” hanya terluah di hati.

“Ipin, takziah untuk Opah. Dari lab tadi aku tengok kau sedih semacam. Aku harap kau kuat, bro,” teman sepermainan sejak kecil, kini teman semakmal mengambil PhD Jurusan Kejuruteraan UIAM. Manakala Mei Mei walau bukan beragama Islam, kerana tertarik untuk belajar dalam antara universiti yang menitikberatkan Islam dalam kampus, dia menyambung Master di universiti sama dengan Mail dan Ipin.

“Gua dari dulu duduk sama orang Melayu, orang Islam. Gua berminat nak belajar macam mana Islam maa.. Ada kawan perempuan Melayu gua, manyak alim. Tudung besar. Baik. Suka.. Suka..” Dialog imbasan Mei Mei bila ditanya kenapa pilih UIAM.

Thanks..” Tutur perlahan Ipin. Dia ikhlas dengan kalimah itu, tapi terasa lesu badannya untuk menyuarakannya bersungguh-sungguh untuk menghargai kata semangat dari Mail.

“Dah.. Dah.. Jangan sedih-sedih. Ni.. kalau kau tengok katalog ni, inshaallah senyum ke telinga.” Sambil Mail menunjukkan katalog memaparkan promosi harga runtuh untuk kamera-kamera DSLR. Memang kerja sampingan dia sejak kecil berniaga. Usahawan berjaya katanya.

Memang minat Ipin pada fotografi. Gajet terbaru berkaitan fotografi memang kegilaan dia. Tambah-tambah Si Mail ni kerja sambilan jadi agen ayah saudaranya jual kamera dan gajet-gajet terkini.

Ipin hanya tersenyum dan membelek katalog itu. Di hatinya dia berminat, tapi kerana mood yang suram sesuram mendungnya langit tengahari di UIAM itu, dia terus menyimpan katalog itu dalam beg bimbitnya.

“Lu jual sama gua 2 seringgit, gua beli, apa macam, Mail?” Mei Mei menyelit di antara perbualan tanpa respon dari Ipin kepada Mail itu. Dengan hanya sepotong buah betik dan sebungkus teh O ais, diet Mei Mei untuk tengahari itu cukup dahsyat. Ah, malam nanti ada orang nak sponsor Domino’s Pizza. Tahan, tahan.

“Itu zaman jahiliah. Aku mana tahu 2 seringgit tu gila hampagas murah. Kali ni kita ber-bisnes, kena bijak. Promosi ni, kau nak beli tak, Si Cermin Mata Bulat?” Perlian imej Mei Mei semasa kecil dahulu.

Sentap. “Hei, isu cermin mata bulat jangan main haa.. Sekarang tengok ni..” Sambil menuding kepada cermin mata jenama MonaLisa, tidak bulat seperti cermin mata dulu. Bergaya.

“Ye laa. Untung mampu beli cermin mata stylo.” Sambil melambai-lambai Samsung Galaxy S3, Mail membuat Mei Mei cemburu.

“Ceh, anak manja bos. Boleh lah lu beli murah,” perli Mei Mei.

“Hahahhahaha….” Pecah derai tawa Ipin. Mematikan sunyi bicara dia sejak tadi. Terkejut bukan main Mail dan Mei Mei. Kena rasukan Ablasa ke apa?

“Laa.. gelak pun kau. Fikir dah tak boleh senyum dah,” Ipin hanya tersengih mendengar kata Mail.

“Aku tengok kau orang dua ni, elok betul di jodoh sekali. Tak habis-habis gaduh manja. Kau Mail, action betul dengan S3 baru kau. Takbur tu bahaya oi!” Ceramah Ipin.

“Ye la. Aku gurau je. Tapi part jodoh tu jangan la. Ingat aku sanggup duduk serumah dengan amoi ni ke?”

“Eh, sedar diri sikit. Manyak cantik muka lu?”

“Muka aku memang cantik pun!”

Macam biasa. Mei Mei yang akan tewas dalam debat. Orang kata, seseorang akan mengalah kepada orang yang dia suka setiap kali bertengkar. Orang kata.

“Hahaha.. aku nikahkan juga kau orang dua ni. Hmm, tapi terima kasih la bagi aku semangat..” Suara Ipin.

“Aku rasa bukan sebab arwah Opah kau bersugul ni. Aku kenal kau Ipin, sejak tadika sampai ke kolej, aku tahu kau jenis kuat semangat. Dah berhari-hari arwah Opah dah pergi, ada masalah lain ke?” Ingin tahu. Pertanyaan Mail dipersetujui Mei Mei. Berlainan bangsa bukan bermakna dia tak mampu faham keadaan sahabat sepermainannya.

“Hmm, terus terang aku cerita. Tapi kau orang berdua jangan cerita kat orang lain.” Ipin mengimbas kembali cerita pertelagahan dia dan abang kembarnya sebelum ini dan perbuatannya meninggalkan semua keluarga tanpa sepatah kalimah di tanah perkuburan selepas pengebumian jenazah Opah.

****

Bersambung..