Pages

Wednesday, January 23, 2013

Amanat Ayah Sekeping Surat

Kredit Gambar


Hari ini, tidak seperti hari yang lain. Langit cerah, alhamdulillah. Solat Dhuha sudah, alhamdulillah. Minyak motosikal penuh, alhamdulillah. Road tax yang hampir nak mati semalam dah selesai bayar, alhamdulillah.

Selepas mengambil segala surat di dalam pejabatnya, Khairil bergerak menuju ke arah motosikal. Jasad yang sedang-sedang saiznya itu duduk di atas tempat duduk, enjin dihidupkan.

"Rutin biasa seorang posmen. Bismillah," demi sesuap rezeki Khairil memulakan harinya sebagai penghantar surat pada Rabu 23 Januari 2013 yang indah itu.

Indah bukan kerana cuaca. Indah kerana Allah. Dan indah itu disampaikan-Nya kepada mata hati Khairil kerana satu peristiwa yang dinantinya.

"Special rasanya hari ni. Impian aku sejak kecil bakal tertunai!" Jerit hati kecil Khairil.

Sejak kecil, Khairil sering mengikut ayahnya yang juga seorang posmen pergi menghantar surat dari rumah ke rumah. Bila waktu cuti dan kelapangan, Khairil akan sentiasa seronok menghantar surat-surat bertinta cinta, rindu, kasih dan sayang daripada keluarga mahupun kekasih penerima surat.

Namun, dunia makin maju. Nak hantar maklumat penting, ada email. Kirim khabar, ada Whatsapp, Tango, BBM dan segala macam jenis modenisasi dalam perhubungan dua hala malah mungkin tiga hala bila mana wujudnya panggilan 3G dan Skype, membolehkan anak, cucu, tok nenek berhubung dengan yang tersayang sekaligus dalam satu masa, di dalam satu paparan skrin.

Hanya beberapa jenis surat yang masih bergantung dengan khidmat setia posmen seperti bil-bil internet, kasut tumit yang dibeli online dan bermacam lagi yang kiranya masih tak memuaskan impian Khairil.

Lampu merah tanda berhenti. Sambil menunggu, Khairil memerhati surat bersampul putih di dalam bakulnya. Hanya surat itu disimpan disitu. Manakala surat yang lain selamat di dalam beg khas di belakangnya.

"TBG 888, Kampung Pandan, Nur Syafurah. Akan aku sampaikan surat ini." Lampu bertukar hijau.

Dengan semangatnya sambil menunggang motosikal Khairil menjerit, "Impian aku bakal tercapai!!!!"

"Dey macha! Diamlah budak posto!" Maki pemandu lori disebelah Khairil.

"Peduli apa! Hahaha!"

Motosikal EX5 itu dipecut bagai menunggang Kawasaki Ninja. Khairil tidak sabar menunaikan impiannya. Apa impiannya itu?

Kredit Gambar
****

Ayah duduk berehat di ruang tamu. Sambil menikmati cekodok pisang dan segelas kopi, Ayah melepaskan lelahnya seharian menghantar surat.

"Ayah!!" Kanak-kanak comel itu berlari ke arah Ayah. Dia Khairil. Masih 10 tahun umurnya.

"Anak Ayah! Haha! Dah mandi belum? Apa bau telur tembelang ni?"

"Aik, baru je Khai mandi. Tak kan busuk lagi. Bau ayah la ni, melekat masa Khai bonceng hantar surat dengan Ayah," Ayah menggeletek Khairil atau Khai, nama manjanya. Geli hati dengan telatah anak bongsunya itu. Khair didudukkan di atas riba ayahnya.

"Khai.."

"Ye, Ayah?"

"Ayah tengok, makin hari kan.. makin kurang kasih sayang yang Ayah rasakan pada surat-surat yang Ayah hantar,"

"Eh, surat pun boleh kurang kasih sayang?"

"Haha, bukan.. Maksud Ayah. Sebelum ni Khai perasan tak? Kita selalu hantar surat wangi, ada letak bedak, ada letak minyak attar pun ada. Kan?"

"Ha'ah. Tapi sekarang makin kurang la Ayah. Yang ada surat yang tak ada bau je."

"Khai, Khai.." Ayah menurunkan Khai dari ribanya. Khai menghadap Ayah. Mata mereka bertentangan. Suasana petang yang malap menghampiri Maghrib memberi ketenangan kepada dua beranak itu.

"Khai pegang impian Ayah ye.. Jangan biarkan dunia ini kontang tanpa kasih sayang. Ya, zaman berubah dengan adanya telefon, tetapi Khai jangan lupa, kasih sayang yang di tulis di atas surat masih punya nyawa."

****

Umur dan akal yang masih belum cukup matang semasa itu membuat Khairil tidak memahami maksud ayahnya. Namun, sejak dari hari itu, Ayah tak pernah putus mengingatkan Khairil tentang impian itu.

"Ayah nak aku jangan biar dunia ini kontang kasih sayang. Jadi, surat ini akan aku pastikan sampai kepada penerimanya."

Setelah menghantar segala surat kecuali surat di dalam bakul motosikalnya itu, Khairil menuju ke arah alamat yang dinyatakan.

"Wangi surat ni. Tulisan alamat dengan nama Nur Syafurah ni pun cantik. Mungkin pakwe dia kot hantar surat ni. Tak apa, yang penting, mari sebarkan kasih sayang!!"

****

Entah mengapa, hari itu Khairil mengalami masalah. Dia sesat semasa mencari alamat yang dinyatakan. Daripada Zuhur hingga ke waktu Asar. Khairil terpaksa berjemaah di surau yang sama di Kampung Jawa kerana masih keliru mencari alamat ke rumah Nur Syafurah tersebut.

"Ya Allah, betul pak cik tak tahu mana alamat ni pak cik?"

"Mana lah pak cik nak tahu. Baru berapa minggu pak cik pindah rumah sewa anak pak cik ni." Jawab lelaki dalam lingkungan umur 50-an itu. Sambil berehat di atas kerusi kayu di halaman rumah.

"Erm, kalau begitu Terima kasih ye pak cik. Eh, dah nak masuk Asar ni. Jom, kit berjemaah di surau pak cik?" Ajak Khairil. Katanya menyebarkan kasih sayang, maka, bukankah dakwah itu juga kasih sayang?

"Eh, err.. tak pa lah nak. Pak cik nak rehat. Penat. Maklumlah uzur."

"Oh, ye ke? Rasanya tak berapa jauh pak cik. Tapi tak apa lah. Saya gerak dulu ye pak cik. Assalamua'laikum,"

"Wa'alaikumsalam," bersama deruman motosikal itu berlalu Khairil untuk meraih 27 pahala berjemaah Asar.

"Dah kerja posmen tu, hantar surat je la. Konon nak jadi tabligh.. heh!" Rungut pak cik itu. Mungkin masih tidak memahami hakikat dakwah untuk semua.

****

Selesai solat berjemaah, Khairil menuju ke arah motosikalnya. Dengan lafaz bismillah, dia memulakan kembali tugasnya. Demi impian Ayah. Demi amanat sebagai seorang pekerja. Demi cinta Allah.

Dalam doanya selepas solat, Khairil bermunajat memohon bantuan Yang Maha Pengasih agar membantu urusannya. Setelah 15 minit mencari....

"ALHAMDULILLAH!!!"

Akhirnya setelah bergelen peluh membasahi uniformnya, Khairil bertemua juga alamat Nur Syafurah yang dicari. Rumah batu, di hiasi tanaman bunga yang berbagai. Khairil bercadang untuk berdepan dan menghantar sendiri surat untuk tuan rumah tersebut. This is the moment of his life.

"Assalamua'laikum, Cik Syafurah.." Tidak beberapa lama kemudian, kelihatan jasad seorang wanita berumur di sebelah Khairil.

"Ocopot! Astaghfirullah, terkejut saya mak cik!" Wanita itu hanya tersenyum. Siapa dia?

"Wa'alaikumsalam," salam Khairil dijawab. Mungkinkah dia Nur Syafurah yang dicari?

"Encik ni cari Puan Syafurah ye?" Eh? Mana dia tahu. "Saya Puan Syafurah, tuan rumah ni,"

"Oh ya! Saya mencari Puan. Nak hantar surat. Maaf agak terlewat sampai lewat petang. Haha, entah macam mana boleh tersesat tadi." Jangkaan Khairil, pemilik nama seindah Nur Syafurah yang bakala menerima surat bersimbah wangian ini adalah seorang gadis sunti.

"Ah! Apa pula imaginasi aku menerawang ni," monolog Khairil.

"Ehem!" Wanita yang membelek surat yang diterimanya daripada Khairil menumpu kembali perhatian kepadanya. "Err.. maaf saya bertanya mak cik, daripada siapa surat ni, mak cik? Macam dah tahu je mak cik nak terima surat ni?"

"Oh ya, surat ini daripada suami saya yang tengah outstation di Paris sana. Urusan kerja." Oh! Patutlah bau minyak wangi mahal surat tu.

Sambil tersenyum, mak cik itu bercerita, "Kami tak pernah putus mengirim surat. Sejak zaman sekolah rendah, mak cik ingat lagi bawah meja mak cik yang penuh dengan bedak. Entah siapa tumpahkan. Rupanya kawan mak cik, merangkap suami mak cik sekarang yang tabur sebotol atas surat dia,"

Khairil mendengar penuh minat. Tak dapat disangkal lagi, impian Ayah nya menyinar dihadapan matanya. Masih wujud surat yang menghubung kasih sayang antara insan. Namun, persoalan berlegar di fikiran Khairil...

"Jadi sampai sekarang mak cik dengan suami berutus surat?"

"Ya," wanita berusia lingkungan 40-an itu melirik senyum. Masih cantik di usianya.

"Tapi mak cik, sekarang zaman....."

"Zaman moden??" Sinis senyuman pemilik nama Nur Syafurah itu. Memotong pertanyaan yang dapat dijangka daripada Khairil. Khairil hanya mengangguk.

"Itu yang manusia selalu lupa." Angin petang bertiup damai. Halaman rumah yang mengahadap laut itu cukup mendamaikan. Perbualan itu bagaikan cukup bermakna buat dua generasi berbeza itu.

"Dunia berubah. Dan manusia lupa asal mereka di mana. Nenek moyang mereka hidup dengan kasih sayang yang diutus dengan sekeping kertas sejak dahulu. Mak cik tak pernah lihat budaya ini sudah lapuk."

"Jadi mak cik menafikan kemajuan dalam telekomunikasi sekarang ke?" Provokasi sengaja dicetus.

"Bukan begitu," Wanita itu masih utuh dengan senyuman. "Manusia suka melupakan sesuatu kerana merasakan ia lapuk. Dan mereka suka menerima benda baru di zamannya, kononnya mengikuti arus zaman. Adakah masih tidak relevan surat yang sebegini??" Surat itu diangkat pada paras bahunya, Puan Nur Syafurah mahu Khairil melihat dengan jelas akan hujahnya.

Khairil kagum dengan insan dihadapannya itu. Berhujah dengan bernas, adabnya masih kemas. Senyum tak lekang.

"Anak, begitulah lumrah dunia. Manusia merasakan apa yang lama itu lapuk dan tidak relevan. Bukan hanya sampul dan surat ini menerima bahana, kita lihat sahaja SUNNAH RASULULLAH SAW yang terabai.."

Sunnah??

"Lebih 1400 tahun baginda meninggalkan kita, sunnah, sirah, pesanan baginda semakin lama semakin diupakan. Alasannya? Sebab kononnya ketinggalan zaman. Kononnya amalan berusia beribu tahun ini tak relevan lagi dizaman sekarang.."

Khairil teringat pak cik yang menolak ajakannya untuk menunaikan solat berjemaah Asar tadi.

"Umpama surat ini, nak. Ingatlah, tak semua yang 'tua' itu tak relevan. Surat yang membawa emosi penulis untuk penerimanya ini masih relevan walaupun bukan alternatif terbaik. Tetapi sunnah dan segala amalan, kalimah, contoh daripada Rasulullah SAW dalam Quran dan Sunnah takkan pernah lapuk. Takkan pernah,"

Selesai hujah, mak cik itu berlalu masuk ke rumahnya. Sebelum meninggalkan Khairil, dia sempat berkata kepada posmen itu, "Maaflah ye nak, mak cik menyimpang ke cerita Nabi kita pula. Maghrib ni tiba ulangtahun keputeraan Rasulullah SAW. Mak cik sebagai umat baginda, cuma mengingatkan. Itu amanah."

****

Kredit Gambar

Malam itu, Khairil berdiri di beranda rumahnya. Mendongak memandang langit. Ibunya sydah nyenyak tidur. Serta-merta dia terkenang akan arwah ayahnya.

"Ayah, Khai harap Khai dah tunaikan impian ayah. Tapi, Khai tahu. Rantai kasih sayang ini tak harus berakhir disini,"

Khairil masih bertekad, dia akan terus berkhidmat dengan pekerjaan sebagai posmen itu. Walau kejadian petang tadi mungkin akan jarang atau mungkin tidak akan berlaku lagi, dia sedar itu bukan maksud sebenar ayahnya selama ini.

"Ayah, Khai tahu.. Ayah tak mahu rantaian kasih sayang ini putus. Khai sedar, walau Khai hanya seorang penghantar surat, Khai masih ada tugas. Sebagai khalifah Allah. Untuk sebarkan kasih sayang yang Rasulullah SAW amanatkan kepada umat baginda.. Kan, Ayah?"

Khairil hanya mampu bermonolog sendiri. Tiada harapan untuk ayahnya mendengar kata hatinya. Namun dia berharap, dia akan terus kuat untuk terus menjadi antara rantai penghubung kasih sayang sebenar; kasih sayang daripada Allah SWT dan Rasul-Nya dengan dakwah.

"Selawat dan salam ku untukmu Ya Rasulullah!"

Itu amanah, setiap ummah.

SALAM MAULIDUR RASUL SEMUA!! ^^

9 comments:

  1. awak tulis sendiri ke cerpen ni? wow. best lah :) thumbs up

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha.. ha'ah, saja menulis jap lepas lama xasah skil. ^^" lama dah simpan idea ni. terimas..

      Delete
  2. wow. penulisan awak best. boleh jadi penulis. ada bakat

    ReplyDelete
  3. ade keunikan dalam cerpen ni.
    Intipatinya segar.
    Harap terus istiqamah dalam dunia penulisan! :D

    ReplyDelete
  4. Sebarkan da'wah dengan kasih sayang.. -Iman Hasan Al-Banna

    Terima kasih atas perkongsian ni azril..

    ReplyDelete
  5. mantap. semoga terus berkarya .
    salam perkenalan. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. terimas.. ^^" harap dpt diambil mana2 yg baik utk dijadikan contoh. inshaallah. salam perkenalan juga.

      Delete
  6. cerita yang penuh dengan kasih sayang :-)

    *nak pakai tshirt xde kolar? Guna duit ptptn bayar saman.. hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha.. alahai kena saman gak ke? :p tak pa lah, redho ber skema ke kelas..

      Delete

Comment