Pages

Wednesday, July 24, 2013

Cerpen Ustaz Horror: 1300-Ek-Ek-Tupai-Tupai

Sumber: klik sini

“Ya Allah! Bala apa pula kali ni!”

Aku dah tak tentu hala bawa motor kompeni aku ni. Lepas satu, satu. Dalam jarak 10 meter dari aku ada lelaki berpakaian macam pak haji lambai-lambai kat aku. Mulut aku dah terkumat-kamit baca zikir bagai. Entah betul entah tidak bacaan aku. Mata aku dah terpejam, aku redha je bawa motor macam ni. Tiba-tiba tangan aku terasa disentuh, motor aku berhenti seperti ditahan sesuatu. Perlahan-lahan aku buka mata.

”Dari jauh pakcik nampak kamu bawa motor lain macam je? Kenapa ni?” Jernih muka pakcik ni. Tangan kurus dia kuat menggenggam tangan aku menahan aku yang ketakutan. Aku pandang dia atas ke bawah, macam ahli tetap surau kampung ni je rupa dia.

***

“Oh, jadi lepas kamu hantar pizza ke rumah hujung kampung tu la kamu kena kacau?” tanya Pak Cik Deraman, tok siak surau kampung aku singgah ni lepas aku ceritakan apa yang terjadi sebelum aku berjumpa dia tadi.

Aku tak sangka malam ni aku hantar pizza ke rumah usang tak berpenghuni. Tak dapat aku gambarkan betapa seriaunya aku bila aku toleh belakang lepas hantar dan ambil bayaran pizza dari mak cik tu, aku nampak dia melayang pergi dengan berpakaian kain putih. Mengilai sambil tenung mata aku dengan mukanya yang pucat berdarah tu. Mana la makhluk ni dapat telefon call ofis aku suruh hantar pizza.

“Ha’ah pakcik. Lepas tu saya dah tak fikir apa bawa motor serupa orang mabuk dah. Pakcik pula lambai-lambai saya dari jauh. Saya fikir suami hantu tadi kejar saya pula,”

“Haha! Ada ke kamu fikir macam tu. Apa nama kamu tadi? Lupa pakcik,”

“Syah,”

“Apa pun terima kasih ya, Syah. Sanggup hantar pakcik ke rumah malam-malam macam ni. Biasa la, tugas menjaga surau kampung ni memang susah pakcik nak balik awal. Nak bawa motor tak larat dah,”

“No hal pakcik,” keringat dingin masih mengalir kat dahi aku. Nasib ada orang tua ni bonceng belakang teman aku.

“Kamu rasa, duit yang makhluk tadi tu bayar, duit betul ke tidak?” Soalan Pak Cik Deraman buat aku tersedar. Betul juga, aku pernah dengar makhluk-makhluk ni kalau singgah ke kedai ke apa dia bayar guna batu kayu pasir je. Habis la aku balik nanti nak bayar balik lagi kat bos aku.

“Dari tadi saya rasa macam berat juga beg duit saya ni pakcik. Macam ada batu berketul-ketul kat dalam padahal tadi saya terima duit kertas dari ‘dia’,”

“Makhluk jin ni suka main ilusi. Lepas tu suka buat manusia takut dengan dia. Kamu tahu kan manusia makhluk paling agung ciptaan Tuhan? Makin bangga lah mereka kalau kita takut dengan dia,” bersungguh Pak Cik Deraman terangkan.

“Apakan daya pakcik. Rupa diorang tu hodoh sangat. Seram nak tengok lama-lama,”

“Sebab tu kita perlu kuatkan iman kita dengan amal agama. Lepas tu hafal ayat-ayat pendinding bagi jauh dari gangguan atau rasa takut,” ambik kau aku kena tazkirah.

Jalan sekitar kampung ni tak banyak yang berturap. Kalau ada pun berlubang sana sini. Lampu jalan pun macam hidup segan mati tak mahu. Dalam kesamaran tu aku terpukul juga dengan apa yang pak Cik Deraman yang aku bonceng ni kata. Siapa tak kenal Syah Klang. Samseng jalanan, penghantar pizza berwibawa, dan yang pasti manusia yang jarang menghadap sejadah.

“Ayat-ayat pendinding tu macam jampi serapah ke pakcik?” Teragak-agak juga aku tanya takut tersalah. Pak Cik Deraman aku lihat senyum dari cermin sisi motor sambil memegang lembut bahu aku, “Kamu hafal ayat kursi? 4 Qul, 2 ayat terakhir surah at-Taubah?”

Aku hanya menggeleng kepala kepada soalan dia. Aku memang dah jauh dari semua tu sejak dulu. Nak salahkan mak bapak pun aku kena sedar juga aku dah dewasa, tahu beza baik buruk. Tapi aku dah terbiasa dengan hidup ‘bebas’ dari ‘konkongan agama’.

“Saya tak macam pakcik. Surau dengan masjid macam dah tak dapat terima orang berdosa macam saya. Sama macam orang kat luar sana yang pandang serong lagi,” keluh aku. Pak Cik Deraman kekal senyum.

“Kamu masih ada peluang, Syah. Cari jalan hidup kamu yang betul sebelum Izrail datang memanggil. Masih ada orang di luar sana yang dapat tunjuk kamu jalannya kalau kamu mahu berusaha untuk berubah,” Pak Cik Deraman cuba memberi aku semangat yang hanya disambut diam aku. Mati bicara.

“Hmm, boleh pakcik tahu nombor telefon order pizza syarikat kamu ni, Syah?”

“Eh, pakcik mengidam pizza juga ke? Haha!”

“Mana tahu kamu lagi ke yang hantar pizza ke sini. Dapat kita jumpa lagi kan? Hehe,”

“Senang je pakcik nombor kami. One-three-hundred-eight-eight-two-five-two-five,” Suka hati aku je baca nombor bahasa penjajah. Faham ke tidak orang tua ni.

“Wan-teri-handered-ek-ek-tupai-tupai?” Tergagap pakcik ni mengulang. Nak tergelak aku dengar.

“Hahaha! Lebih kurang la pakcik. Eh, jalan ni macam jalan yang sama kita jumpa tadi pakcik. Saya salah jalan ke?” Aku dah mula bingung dah. Belum pernah sejarah hidup aku sesat kat bumi Selangor ni.

“Wan-teri-handered-ek-ek-tupai-tupai-wan-teri-handered-ek-ek-tupai-tupai,” soalan aku tak berjawab, orang tua ni sibuk hafal nombor telefon kompeni pizza aku pula dah!

“Pak cik.. Erkk!” Mata aku tertancap pada cermin sisi motor aku. Aku nampak muka Pak Cik Deraman macam makin terbakar. Lama-kelamaan hangus meninggalkan bola matanya yang merah menyala. Habislah! Selama ni aku bawa hantu pak aji tumpang motor ke?!! Hantu pun pandai ajar ayat pendinding?!!

“Senang kerja pakcik. Hehehe, orang lemah semangat macam kamu jin suka buat kawan. Hahahaha!” Tuhan je lah tahu macam mana perasaan aku bonceng makhluk berpakaian pak haji dengan muka hodoh terbakar atas motor. Seluar dah basah dengan kencing aku. Satu badan dah meremang bulu roma dengan peluh lagi. Aku dah tak larat bawa lagi dah motor yang dah makin memberat ni. Kini hanya aku, dia, dan motor kompeni aku di tepi jalan bertemankan suasana hutan sekeliling yang suram.

“Apa nombor dia tadi, Syah? Wan-teri-handered-ek-ek-tupai-tupai-wan-teri-handered-ek-ek-tupai-tupai,”

Aku dapat rasa tangan dia yang menggerutu meraba-raba pinggang aku. Ya Allah, aku mohon kasihanilah hamba-Mu ini Ya Allah. Aku janji aku bertaubat lepas ni dari dosa-dosa aku!


“Pizza hut special delivery.. Hihihi..”

No comments:

Post a Comment

Comment