![]() |
Sumber: klik sini |
“Ya Allah! Bala
apa pula kali ni!”
Aku dah tak tentu
hala bawa motor kompeni aku ni. Lepas satu, satu. Dalam jarak 10 meter dari aku
ada lelaki berpakaian macam pak haji lambai-lambai kat aku. Mulut aku dah
terkumat-kamit baca zikir bagai. Entah betul entah tidak bacaan aku. Mata aku dah
terpejam, aku redha je bawa motor macam ni. Tiba-tiba tangan aku terasa
disentuh, motor aku berhenti seperti ditahan sesuatu. Perlahan-lahan aku buka
mata.
”Dari jauh pakcik
nampak kamu bawa motor lain macam je? Kenapa ni?” Jernih muka pakcik ni. Tangan
kurus dia kuat menggenggam tangan aku menahan aku yang ketakutan. Aku pandang dia atas ke bawah,
macam ahli tetap surau kampung ni je rupa dia.
***
“Oh, jadi lepas
kamu hantar pizza ke rumah hujung kampung tu la kamu kena kacau?” tanya Pak Cik
Deraman, tok siak surau kampung aku singgah ni lepas aku ceritakan apa yang
terjadi sebelum aku berjumpa dia tadi.
Aku tak sangka
malam ni aku hantar pizza ke rumah usang tak berpenghuni. Tak dapat aku
gambarkan betapa seriaunya aku bila aku toleh belakang lepas hantar dan ambil
bayaran pizza dari mak cik tu, aku nampak dia melayang pergi dengan berpakaian
kain putih. Mengilai sambil tenung mata aku dengan mukanya yang pucat berdarah
tu. Mana la makhluk ni dapat telefon call ofis aku suruh hantar pizza.
“Ha’ah pakcik.
Lepas tu saya dah tak fikir apa bawa motor serupa orang mabuk dah. Pakcik pula
lambai-lambai saya dari jauh. Saya fikir suami hantu tadi kejar saya pula,”
“Haha! Ada ke
kamu fikir macam tu. Apa nama kamu tadi? Lupa pakcik,”
“Syah,”
“Apa pun terima
kasih ya, Syah. Sanggup hantar pakcik ke rumah malam-malam macam ni. Biasa la,
tugas menjaga surau kampung ni memang susah pakcik nak balik awal. Nak bawa
motor tak larat dah,”
“No hal pakcik,”
keringat dingin masih mengalir kat dahi aku. Nasib ada orang tua ni bonceng belakang teman aku.
“Kamu rasa, duit
yang makhluk tadi tu bayar, duit betul ke tidak?” Soalan Pak Cik Deraman buat
aku tersedar. Betul juga, aku pernah dengar makhluk-makhluk ni kalau singgah ke
kedai ke apa dia bayar guna batu kayu pasir je. Habis la aku balik nanti nak
bayar balik lagi kat bos aku.
“Dari tadi saya
rasa macam berat juga beg duit saya ni pakcik. Macam ada batu berketul-ketul
kat dalam padahal tadi saya terima duit kertas dari ‘dia’,”
“Makhluk jin ni
suka main ilusi. Lepas tu suka buat manusia takut dengan dia. Kamu tahu kan
manusia makhluk paling agung ciptaan Tuhan? Makin bangga lah mereka kalau kita
takut dengan dia,” bersungguh Pak Cik Deraman terangkan.
“Apakan daya
pakcik. Rupa diorang tu hodoh sangat. Seram nak tengok lama-lama,”
“Sebab tu kita
perlu kuatkan iman kita dengan amal agama. Lepas tu hafal ayat-ayat pendinding
bagi jauh dari gangguan atau rasa takut,” ambik kau aku kena tazkirah.
Jalan sekitar
kampung ni tak banyak yang berturap. Kalau ada pun berlubang sana sini. Lampu
jalan pun macam hidup segan mati tak mahu. Dalam kesamaran tu aku terpukul juga
dengan apa yang pak Cik Deraman yang aku bonceng ni kata. Siapa tak kenal Syah
Klang. Samseng jalanan, penghantar pizza berwibawa, dan yang pasti manusia yang
jarang menghadap sejadah.
“Ayat-ayat
pendinding tu macam jampi serapah ke pakcik?” Teragak-agak juga aku tanya takut
tersalah. Pak Cik Deraman aku lihat senyum dari cermin sisi motor sambil
memegang lembut bahu aku, “Kamu hafal ayat kursi? 4 Qul, 2 ayat terakhir surah
at-Taubah?”
Aku hanya
menggeleng kepala kepada soalan dia. Aku memang dah jauh dari semua tu sejak
dulu. Nak salahkan mak bapak pun aku kena sedar juga aku dah dewasa, tahu beza
baik buruk. Tapi aku dah terbiasa dengan hidup ‘bebas’ dari ‘konkongan agama’.
“Saya tak macam
pakcik. Surau dengan masjid macam dah tak dapat terima orang berdosa macam saya.
Sama macam orang kat luar sana yang pandang serong lagi,” keluh aku. Pak Cik
Deraman kekal senyum.
“Kamu masih ada
peluang, Syah. Cari jalan hidup kamu yang betul sebelum Izrail datang
memanggil. Masih ada orang di luar sana yang dapat tunjuk kamu jalannya kalau
kamu mahu berusaha untuk berubah,” Pak Cik Deraman cuba memberi aku semangat
yang hanya disambut diam aku. Mati bicara.
“Hmm, boleh
pakcik tahu nombor telefon order pizza syarikat kamu ni, Syah?”
“Eh, pakcik
mengidam pizza juga ke? Haha!”
“Mana tahu kamu
lagi ke yang hantar pizza ke sini. Dapat kita jumpa lagi kan? Hehe,”
“Senang je pakcik
nombor kami. One-three-hundred-eight-eight-two-five-two-five,” Suka hati aku je
baca nombor bahasa penjajah. Faham ke tidak orang tua ni.
“Wan-teri-handered-ek-ek-tupai-tupai?”
Tergagap pakcik ni mengulang. Nak tergelak aku dengar.
“Hahaha! Lebih
kurang la pakcik. Eh, jalan ni macam jalan yang sama kita jumpa tadi pakcik.
Saya salah jalan ke?” Aku dah mula bingung dah. Belum pernah sejarah hidup aku
sesat kat bumi Selangor ni.
“Wan-teri-handered-ek-ek-tupai-tupai-wan-teri-handered-ek-ek-tupai-tupai,”
soalan aku tak berjawab, orang tua ni sibuk hafal nombor telefon kompeni pizza
aku pula dah!
“Pak cik.. Erkk!”
Mata aku tertancap pada cermin sisi motor aku. Aku nampak muka Pak Cik Deraman
macam makin terbakar. Lama-kelamaan hangus meninggalkan bola matanya yang merah
menyala. Habislah! Selama ni aku bawa hantu pak aji tumpang motor ke?!! Hantu pun pandai ajar ayat pendinding?!!
“Senang kerja
pakcik. Hehehe, orang lemah semangat macam kamu jin suka buat kawan. Hahahaha!”
Tuhan je lah tahu macam mana perasaan aku bonceng makhluk berpakaian pak haji
dengan muka hodoh terbakar atas motor. Seluar dah basah dengan kencing aku. Satu
badan dah meremang bulu roma dengan peluh lagi. Aku dah tak larat bawa lagi dah
motor yang dah makin memberat ni. Kini hanya aku, dia, dan motor kompeni aku di
tepi jalan bertemankan suasana hutan sekeliling yang suram.
“Apa nombor dia
tadi, Syah?
Wan-teri-handered-ek-ek-tupai-tupai-wan-teri-handered-ek-ek-tupai-tupai,”
Aku dapat rasa tangan dia yang menggerutu meraba-raba pinggang aku. Ya Allah, aku mohon kasihanilah hamba-Mu ini Ya Allah. Aku janji aku bertaubat lepas ni dari dosa-dosa aku!
“Pizza hut
special delivery.. Hihihi..”